suria

Penganjur silap letak gambar, calon Top 20 Artis Baharu Lelaki Popular Farhan Asri tak kecil hati - “Hanya masalah teknikal, saya okey saja”

Farhan Asri tak kecil hati wajahnya tertukar individu lain semasa pengumuman calon.

KESILAPAN teknikal dikatakan menjadi punca wajah pelakon baharu Farhan Asri tidak dipaparkan di skrin ketika memperkenalkan calon-calon Top 20 Artis Baharu Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 (ABPBH 33), pada malam Jumaat.

Menyedari kesilapan itu selepas dimaklumkan peminat, Farhan bagaimanapun berkata dia tidak berkecil hati apabila mengetahui wajahnya tertukar dengan individu lain pada acara yang bersiaran secara langsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu.

"Saya tidak kecewa atau ambil hati pun. Saya anggap mungkin ada masalah teknikal yang berlaku sehingga wajah saya tertukar dengan individu lain di skrin.

ARTIKEL BERKAITAN: ABPBH33 penuh kejutan! Haqiem Rusli paling popular... Mawar Rashid dan Zahiril Adzim menang pelakon filem popular

"Saya akui banyak menerima mesej peribadi daripada peminat yang bertanyakan mengenai perkara ini. Namun tiada apa yang mampu saya katakan. Saya okey saja!

"Saya hanya ingin berterima kasih kepada peminat yang sudah undi ketika proses undian berlangsung. Tercalon Top 20 untuk kategori Artis Baharu Lelaki Popular pun dianggap hadiah bermakna untuk saya sepanjang tiga tahun bergiat aktif dalam dunia lakonan," katanya kepada mStar.



Seorang pengguna Twitter terkejut wajahnya tersenarai sebagai calon Artis Baharu Popular.

Sebelum itu, menerusi Twitter seorang pemilik akaun dikenali Wafiy Rosli memuat naik status terkejut apabila wajahnya tersenarai sebagai Artis Baharu Lelaki Popular meskipun dia bukanlah seorang pelakon.

"Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba aku tersenarai Artis Baharu Lelaki. Aku tak tahu apa-apa pun. Aku dah jadi artis," tulisnya.

Saya percaya belum tiba rezeki saya untuk menang sebarang anugerah namun saya bersyukur ABPBH 33 melihat bakat seni saya!

FARHAN ASRI

PELAKON

Perkongsiannya itu menerima lebih 3,000 retweet dan hampir 11,000 tanda suka dari netizen.

Meskipun tiada gambar wajahnya pada skrin itu, Farhan berkata dia tetap berbangga kerana tercalon buat pertama kali dalam ABPBH33.



Meskipun tewas, Farhan tetap bersyukur tercalon Top 20 kategori tersebut.

"Tuhan sebaik-baik perancang... saya percaya Allah susun hidup setiap manusia dengan aturan yang cukup sempurna dan terbaik.

"Saya percaya belum tiba rezeki saya untuk menang sebarang anugerah namun saya bersyukur ABPBH 33 melihat bakat seni seperti saya yang masih baru ini.

"Bukan sebuah trofi yang saya kejar ketika ini, tapi saya mahu fokus dengan karier lakonan supaya saya dapat berkongsi bakat yang dimiliki ini. Semoga kehadiran saya ini akan terus diterima baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Farhan bakal membintangi sebuah drama bersiri berjudul Menantu Tok Sintok dan kini sibuk menjalani penggambaran drama Baby Tak Gila.

ABPBH33 menyaksikan kemenangan penyanyi Haqiem Rusli sebagai Bintang Paling Popular.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain