“Kau nak kahwin tak dengan aku” - Cara ‘selamba’ Fendy Bakry lamar wanita, buat persiapan nikah dalam masa 2 bulan

Fendy mula berkenalan dengan isterinya sejak tiga tahun lalu.

SETELAH hampir sebulan bergelar suami, pelakon Fendy Bakry meluahkan rasa syukur dan gembira kerana kehidupannya kini lebih tersusun di samping isteri tercinta.

Selain itu Fendy, 32, turut menjelaskan dia tidak berniat untuk merahsiakan perkahwinannya namun perlu memikirkan soal keselamatan berikutan wabak Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Dalam diam-diam, Fendy Bakry selamat bergelar suami kepada wanita pilihannya - “Saya wajibkan yang perlu dahulu”

"Alhamdulillah seronok... bangun pagi, ada orang dekat sebelah. Kehidupan saya selepas berkahwin ini lebih tersusun. Syukur ada seorang isteri yang memahami kerjaya saya.

Fendy berasa bertuah memiliki isteri yang memahami kerjaya seninya.

"Saya rasa bertuah sebab ada isteri seperti dia. Saya tidak ada niat nak sorok atau rahsiakan. Segala perancangan dilakukan dalam masa singkat memandangkan kita sedang berdepan dengan Covid-19.

"Majlis yang diadakan pula hanya boleh jemput 250 orang sahaja. Walaupun ada had untuk tetamu tapi bimbang tak boleh nak sekat orang nak datang. Tak akan nak halau.

"Jadi kedua-dua keluarga ambil keputusan untuk buat apa yang perlu dan penting sahaja. Sebab itu, kami adakan majlis pernikahan secara tertutup," kata Fendy kepada mStar.

Fendy ditemui di Havoc Food Festival 3.0 yang mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia dan Majlis Bandaraya Shah Alam yang diadakan di Stadium Shah Alam selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad lalu.

Kami uruskan persiapan nak kahwin pun dalam masa dua bulan saja.

FENDY BAKRY

PELAKON

Acara yang memberi peluang kepada barisan selebriti dan peniaga tempatan menjana pendapatan selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 itu menyaksikan pengunjung yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Fendy atau Mohd Affandi Nor Bakri menamatkan zaman bujang dan selamat bergelar suami kepada wanita pilihannya dikenali sebagai Ayu dalam sebuah majlis sederhana pada 30 Ogos lalu.

Dalam pada itu, pelakon yang pernah popular menerusi drama Mr. Grey ini mendedahkan dia mengenali isterinya buat pertama kali ketika sama-sama menyertai karnival teater di Kedah pada tiga tahun lalu.

Sepanjang itu, hubungan mereka hanya sekadar kawan biasa dan akhirnya dia mengambil keputusan untuk melamar wanita itu dua bulan sebelum majlis pernikahan diadakan.

Fendy lakukan persiapan kahwin dalam masa dua bulan.

"Pertama kali kami kenal ketika sama-sama sertai karnival teater di Kedah. Tak ada istilah bercinta atau nak keluar makan dan tengok wayang... hanya kawan biasa.

"Kami pun jarang berhubung, mungkin sebulan sekali. Terdetik hati saya nak melamar dia sebab nampak ada satu ciri kebaikan yang ada pada dia. Lagipun usia saya dah 32.

"Sudah sampai masa untuk berumah tangga. Jadi saya tanya pada dia 'kau nak kahwin tak dengan aku'. Kami uruskan persiapan nak kahwin pun dalam masa dua bulan saja. Kiranya, kami ini bercinta selepas kahwin," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain