Peminat ‘panas hati’ Shafinaz tegur Qody perbetul sebutan bahasa Inggeris - “Bukan tak tahu, tapi ada perkataan yang saya tak reti nak sebut”

Netizen mempertikaikan cara kritikan Shafinaz terhadap Qody.

KRITIKAN juri jemputan iaitu penyanyi Datuk Shafinaz Selamat terhadap nyanyian Qody Rany menerusi lagu Rude pada konsert Big Stage 2020 minggu separuh akhir yang berlangsung pada Ahad lalu menarik perhatian netizen.

Rata-rata netizen di Twitter menganggap teguran Shafinaz mengenai sebutan bahasa Inggeris Qody yang tidak jelas seperti memperlekehkan pendidikan penyanyi itu sehingga mereka mewujudkan istilah baharu iaitu 'education shaming'.

ARTIKEL BERKAITAN: Emosi Qody jadi ‘mangsa’ Big Stage, layak masuk final selepas gimik tersingkir bersama Farisha Iris

Bagaimanapun, Qody atau nama sebenarnya Rossadi Abdul Rani, 26, mengambil kritikan tersebut secara positif dan juga tanggungjawabnya sebagai seorang penyanyi.

Sebutan bahasa Inggeris Qody ketika menyanyikan lagu Rude menerima teguran daripada Shafinaz.

"Apa yang diperkatakan oleh Datuk Shafinaz itu adalah proses pembelajaran. Dia memberi kritikan itu untuk saya tahu apa yang salah... silap dan apa yang perlu saya perbaiki. Saya ambil benda itu sebagai kritikan yang membina.

"Tapi saya tak pasti apa pandangan peminat terhadap kritikan tersebut. Dia tidak cakap yang saya ini tak pandai tapi bagi saya, apa yang ditegur itu memang betul. Sebagai seorang penyanyi, kena terima apa saja ilmu yang diberikan.

"Sebagai contoh, kalau pergi kenduri kahwin pengantin mat saleh, orang minta kita nyanyi lagu bahasa Inggeris, takkan nak tolak. Mana tanggungjawab kita sebagai penyanyi? Jadi, kritikan itu untuk saya belajar lagi selepas ini

"Bukan saya tidak tahu lagu bahasa Inggeris tapi ada beberapa perkataan yang saya tak reti nak sebut dengan jelas dan memang lagu itu agak susah daripada segi sebutan," kata Qody kepada mStar.

Sebagai seorang penyanyi, kena terima apa saja ilmu yang diberikan.

QODY RANY

PENYANYI

Pada konsert minggu ketujuh Ahad lalu, pengumuman penyingkiran Qody dan satu-satunya peserta wanita iaitu Farisha Iris di peringkat separuh akhir mengejutkan banyak pihak.

Namun lebih mengejutkan selepas beberapa minit pengumuman dibuat, Astro mengundang 'drama' apabila Qody dimasukkan semula sekaligus melayakkannya meneruskan perjuangannya di pentas akhir rancangan tersebut pada Ahad ini.

Dalam pada itu, Shafinaz menjelaskan tugasan yang diberikan bukan untuk bercakap dalam bahasa tersebut tetapi hanya perlu menyanyikan semula lagu yang sudah dinyanyikan oleh penyanyi asal.

Shafinaz berharap Qody menerima kritikannya untuk menjadi lebih baik.

Menurut Shafinaz, dia tidak mempunyai niat untuk memperlekehkan pendidikan Qody namun kritikan yang diberikan untuk menjadikan peserta program itu menjadi lebih baik di masa kelak.

"Kita belajar bahasa Inggeris di sekolah... daripada darjah satu dan masa tadika pun belajar. Sebenarnya kalau tak boleh nak bercakap dalam bahasa Inggeris tu pun tak ada masalah. Tapi lagu ini dah ada orang nyanyi pun.

"Jadi, dengar dan buat latihan. Bukan kita suruh dia bercakap dalam bahasa itu. Kalau kita bagi kritikan untuk jadikan diri lebih baik, anda kena terima.

"Kita bukan nak memalukan dia tetapi nak dia menjadi lebih baik tapi kalau tak nak terima, itu terpulang la," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain