suria

'Suria Duo X' tampilkan gandingan artis baharu dan lama

Siti Sarah dan Syamel bakal bergabung sebagai pasangan duet pertama 'Suria X Duo', Jumaat ini.

STESEN radio Suria FM menampilkan gabungan enam artis baharu dan lama yang bakal berduet menerusi program Suria Duo X bermula Jumaat ini.

Program yang bersiaran secara langsung di Facebook Suria FM dan Youtube Suria TV bakal menyaksikan persembahan pasangan duet Syamel dan Siti Sarah, Azlan & The Typewriter dan Ara Johari serta Ezad Lazim bersama Aina Abdul.

ARTIKEL BERKAITAN: Faktor usia buat Ajak Shiro selesa bekerja di Suria FM

Tiga pasangan duet ini akan menyanyikan lagu popular masing-masing dan lagu duet yang diubah muziknya.

Pengurus Kanan Suria, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin, berkata program digital ini merupakan salah satu initiatif dalam mencapai pendengar lama dan baharu untuk kekal mendengarkan Suria sebagai salah satu radio pilihan hati mereka.



Ara Johari berduet bersama Azlan & The Typewriter.

“Suria sinonim dengan penganjuran Jelajah Suria sebagai tanda terima kasih atas sokongan pendengar.

"Namun disebabkan penularan wabak Covid-19, program Suria Duo X ini merupakan pendekatan terbaik bagi menghiburkan pendengar dan peminat Suria.

"Walau tidak dapat bertemu dengan penyampai Suria tahun ini, diharapkan pendengar setia dan peminat Suria dapat terus memberikan sokongan kepada kami dengan mendengar dan menonton program-program digital yang diterbitkan di media sosial Suria Malaysia, Youtube Suria TV dan laman web Suria.my, ” ujarnya.

Dalam pada itu, peminat boleh menyaksikan persembahan artis kegemaran mereka setiap minggu dan merebut peluang memenangi sebahagian wang tunai berjumlah RM10,000 serta menyanyi bersama kumpulan pilihan mereka di pentas Finale Suria Duo X pada 9 Oktober ini.



Ezad Lazim berduet bersama Aina Abdul.

Peluang terbuka kepada orang ramai dengan hanya merakam cover lagu duet kumpulan pilihan dan muat naik di Instagram masing-masing.

Mereka juga perlu tag @suriamalaysia dan #suriamalaysia #SuriaDuoX dan #namakumpulanpilihan. Nama kumpulan nanti akan dipaparkan ketika mereka membuat persembahan.

Orang ramai yang ingin menyertai kumpulan Suria Duo X ini boleh mendapatkan lagu duet yang dinyanyikan selepas persembahan setiap minggu di laman web suria.my.

Saksikan episod pertama Suria Duo X pada 11 September ini pukul 9 malam di Facebook Suria FM dan Youtube Suria TV dengan gandingan pertama, Syamel dan Siti Sarah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain