Yusof Kelana kritikal akibat kanser kulit tahap empat - “Dia tak boleh bernafas sendiri...”

Yusof Kelana dijangka akan dibawa pulang ke rumah pada Jumaat.

PENGARAH dan penerbit filem veteran Yusof Kelana yang menghidap kanser kulit tahap empat kini berada dalam keadaan kritikal di Institut Kanser Negara, Putrajaya.

Sahabat baiknya yang juga Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PVTM), Datuk Jurey Latiff Rosli, 54, berkata, keadaan kesihatan Yusof semakin merosot dan kini hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Tambahnya, Yusof kemungkinan akan dibawa pulang ke kediamannya pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Marina anggap filem ‘Mahathir, The Journey’ memalukan, penerbit jawab - “Ini bukan kisah Marina”

"Dia pengsan pada Ahad lepas sebab sudah dua hari tak makan, jadi dia dimasukkan ke hospital.

"Tapi saya dimaklumkan yang Yusof sudah tak sedarkan diri sejak Selasa kerana kanser itu telah merebak ke otak.

Yusof Kelana juga merupakan antara pengarah drama kepolisian popular Gerak Khas.

"Dia tidak boleh bernafas dengan sendiri. Saya diberitahu doktor sudah tidak boleh buat apa-apa, jadi dia mungkin akan dibawa balik ke rumah pada Jumaat ini," katanya kepada mStar.

Bercakap mengenai penderitaan yang ditanggung Yusof atau nama sebenar Omar Saleh, 66, Jurey berkata tanda-tanda awal rakannya itu menghidap kanser ialah selepas mengalami luka sebesar syiling 50 sen pada tapak kaki sejak dua tahun lalu.

Namun, sikap yang tidak suka ke hospital membuatkan Yusof membiarkan luka tersebut merebak tanpa mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Dia tidak boleh bernafas sendiri dan hanya bergantung kepada life support.

DATUK JUREY LATIFF ROSLI

PRESIDEN PERSATUAN PENERBIT TELEVISYEN MALAYSIA (PTVM)

Bagaimanapun kata Jurey, Yusof hanya mengetahui dia menghidap kanser pada Jun lalu.

"Tanda-tanda tu dah ada lama sebenarnya sejak dia alami luka di bahagian tapak kaki, cuma Yusof tak pernah ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan luka tu pun dibiarkan saja.

"Ada satu hari tu dia jatuh di rumah dan impak kuat pada dada dia. Anak-anaknya terus bawa dia ke hospital. Akibat daripada jatuh tu badan dia mula mengalami bengkak-bengkak.

"Selepas buat imbasan dan sebagainya, baru dapat tahu yang dia menghidap kanser kulit tahap empat," ujarnya.

Datuk Jurey Latiff Rosli merupakan rakan seperjuangan dan sahabat baik Yusof Kelana.

Yusof memulakan kerjaya sebagai pengarah filem pada tahun 1996 menerusi Tragedi Oktober yang menerima kutipan pecah panggung RM3.2 juta.

Dia kemudian meneruskan kerjasama bersama Skop Production menerusi filem MX3 (2003) dan Pontianak Menjerit (2005).

Yusof menerbitkan filem Bidong: The Boat People (2018) dan Mahathir: The Journey (2019) menerusi syarikat miliknya YKS Film Maker dan Reliance Media Group.

Selain filem, Yusof juga antara pengarah drama kepolisian popular Gerak Khas yang ditayangkan di RTM.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain