suria

Danial Zaini bandingkan ‘followers’ Coki dengan Bront Palarae - “Jangan ukur bakat seni dari jumlah pengikut di IG”

Wujud perbezaan jumlah pengikut di antara pelakon Bront Palarae dan personaliti media sosial, Coki.

LUAHAN pelakon Amerul Affendi mengenai kekecewaan apabila namanya ditolak oleh stesen televisyen kerana kurang pengikut di laman Instagram turut menarik perhatian rakan selebriti lain.

Menyuarakan pandangan yang sama, pelawak dan penyampai radio, Danial Zaini berpendapat adalah tidak wajar jika jumlah pengikut di laman sosial menjadi ukuran menentukan bakat seseorang anak seni.

"Baru dengar cerita fasal bro Amerul Affendi tak dapat job sebab pengikut Instagram tak ramai... memang lumrah industri kalau ada ramai pengikut di Instagram baru senang produser dan pengarah nak jual produk di televisyen.

ARTIKEL BERKAITAN: Amerul Affendi kena ‘reject’ stesen TV sebab Instagram ‘sendu’ - “Nak beli followers rasa macam menipu, apa patut saya buat?”

"Tapi jangan ukur bakat anak seni dari berapa ramai followers dia kat Instagram. Itu hanyalah nombor. Kalau bakat diukur dari ramai pengikut di Instagram, kenapa Joaquin Phoenix menang Oscar award sedangkan dia Instagram pun tak ada.

"Contoh gambar diatas. Pelakon lelaki terbaik Asia dan TikTok famous... boleh tengok tak berapa ramai followers dia di Instagram, beza kan?," katanya menerusi laman Instagram pada Rabu.



Danial berkongsi pandangan di Instagram.

Bersama kapsyen tersebut dia turut membuat perbandingan jumlah pengikut di Instagram pelakon Bront Palarae dan personaliti media sosial, Coki.

Pada Isnin lalu, Amerul meluahkan rasa kecewa selepas menyedari pihak stesen televisyen tidak mahu mengambilnya berlakon selagi pengikutnya di laman sosial tidak mencecah lebih 500,000.

Itu hak peminat nak ikut sesiapa... saya tak salahkan sesiapa dalam hal ini cuma mentaliti itu perlu diubah.

DANIAL ZAINI

PELAKON, PELAWAK

Justeru itu, dia meminta pandangan netizen mengenai apa yang perlu dilakukan memandangkan dia enggan menggunakan jalan pintas dengan membeli pengikut.

Sementara itu, Danial berharap jumlah pengikut tidak boleh dijadikan sandaran dalam menentukan bakat seseorang anak seni.



Amerul kecewa jumlah pengikut kurang menyebabkan namanya ditolak stesen televisyen.

Ini kerana kerjaya sebagai pelakon memerlukan individu yang benar-benar berbakat dan bukan sekadar memiliki pengikut yang ramai di media sosial.

“Itu hak peminat nak ikut sesiapa... saya tak salahkan sesiapa dalam hal ini cuma mentaliti itu perlu diubah.

“Jangan jadikan jumlah pengikut sebagai ukuran bakat seseorang. Tak guna kalau beribu buih di lautan kalau tak mampu menggerakkan seketul batu!, ” ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain