suria

Kejar saham akhirat, Paknil berjaya kumpul RM31,000 bantu pusat tahfiz - “Banyak sudut dimakan anai-anai, bumbung pun bocor”

Aznil kumpul dana untuk baiki pusat tahfiz Maahad Tahfizul AlQuran.

TERKESAN dengan kehidupan daif anak-anak tahfiz Maahad Tahfizul AlQuran, pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi terpanggil untuk mengumpul dana bagi mengurangkan beban mereka.

Aznil memohon jasa baik pengikutnya menghulurkan sumbangan dalam bentuk wang ringgit dengan tujuan memperbaiki kediaman anak-anak tahfiz yang terletak di Cheras itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Insaf ditegur PM... Paknil terus sarung PPE buat persembahan ‘live’, tak jadi pakai baju jenama mewah



Aznil turut berkongsi gambar proses baik pulih pusat tahfiz berkenaan.

"Saya juga nak kejar saham akhirat. Dalam masa sama, saya juga nak ajak semua ke arah sama. Ini antara cara saya nak membantu apa adanya.

"Alhamdulillah, ada ramai yang bermurah hati mengurangkan beban sekali gus membantu pihak pusat tahfiz ini memperbaiki apa yang kurang. Sejak PKP lalu mereka terus diuji.

"Banyak sudut di pusat tahfiz itu rosak. Ada yang dimakan anai-anai, malah bumbung tempat mereka berteduh pun bocor hingga dimasuki air hujan.

Dalam hati juga pernah terdetik nak ambil beberapa orang daripada anak tahfiz itu sebagai anak angkat.

AZNIL NAWAWI

PENGACARA

"Malah masih tinggi lagi tanggungan yang pusat tahfiz ini perlu demi meneruskan operasi. Sekurang-kurangnya dengan bantuan yang menderma dapat mengurangkan masalah ditanggung," kata Aznil.

Sehingga kini sebanyak RM31,000 berjaya dikumpul untuk disalurkan ke pusat tahfiz itu berkat derma orang ramai termasuk peminatnya.

Dalam pada itu, Aznil yang baharu saja melancarkan single mengenai kisah buli siber berjudul Apo itu memberitahu, dia mengetahui kewujudan pusat tahfiz itu kira-kira tiga tahun lalu menerusi pengurusnya.

"Ada dalam 30 orang anak tahfiz di situ. Tenaga pengajar pula sekitar empat orang. Saya pernah juga menganjurkan majlis khatam Al Quran untuk anak tahfiz di situ sebelum ini.



Aznil bersama anak-anak di pusat tahfiz Maahad Tahfizul AlQuran.

"Dalam hati juga pernah terdetik nak ambil beberapa orang daripada anak tahfiz itu sebagai anak angkat," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Aznil yang terkenal dengan sikap pemurah turut menganjurkan Class Of Infuencer secara percuma di Shah Alam Sabtu lalu.

Bengkel perkongsian ilmu mengenai yang menekankan kepentingan kuasa vokal dalam dunia digital itu berlangsung selama empat jam itu diadakan di Akademi Eskayvie.

Ia membabitkan kira-kira 16 ‘influencer’ yang popular dan mempunyai ramai pengikut di Instagram.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Aznil Nawawi, Covid-19, PKP, bantuan, sensasi,

Artikel Lain