suria

Main TikTok pun kena ada lesen? YouTuber Alieff Irfan persoal kewajaran kerajaan perkenal lesen Finas kepada ‘influencer’ baru nak up

Alieff Irfan menganggap cadangan Saifuddin membebankan.

PERATURAN kerajaan mewajibkan penerbit filem tradisi dan media sosial memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) mengundang keresahan ramai khususnya golongan muda.

Antara yang bersuara mempersoalkan kewajaran kerajaan memperkenalkan peraturan itu adalah personaliti YouTube, Alieff Irfan yang aktif menerbitkan filem pendek di saluran berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Alieff Irfan mampu beli kereta, menggaji 8 pekerja kerana 1 juta pelanggan YouTube

Kata Alieff atau nama sebenar Muhammad Aliff Irfan Aziki, 23, keputusan kerajaan itu seolah-olah menyekat kebebasan golongan muda untuk berkarya menerusi media sosial.

"Saya rasa kasihan dengan YouTuber yang baru dapat monetize saluran mereka dan jana pendapatan kecil daripada video yang dihasilkan. Baru nak mulakan kerjaya, tiba-tiba dah kena macam ni.

"Mereka dah tutup peluang untuk orang seperti kami jana pendapatan. Kami dah tak bebas nak berkarya... dah tak bebas nak merealisasikan kreativiti. Kenapa mesti sampai ke tahap ini?" katanya ketika dihubungi mStar.

Alieff luah rasa simpati terhadap karyawan yang baru berjinak-jinak dengan rakaman video di laman sosial.

Selain itu pemilik Alieff Irfan Studio Production (AI Studios) ini turut mempertikaikan kewajaran kerajaan mengenakan peraturan yang sama terhadap pengendali platform media sosial Instagram dan TikTok.

"Apabila saya dapat tahu ia bukan sahaja melibatkan YouTube dan Facebook malah Instagram dan TikTok, ia dah melanggar hak peribadi," ujarnya yang memiliki 2.75 juta subscribers di YouTube.

Sebagai pengarah filem pendek, saya juga punya impian untuk mengarah filem pada masa akan datang.

ALIEFF IRFAN

PERSONALITI YOUTUBE

Terdahulu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata kementerian melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengeluarkan tiga jenis lesen kepada industri perfileman iaitu Lesen Pengeluaran Filem/Video, Lesen Pengedaran Filem/Video dan Lesen Pemameran Filem/Video.

Saifuddin turut menjelaskan tafsiran filem turut merangkumi perkara Seksyen 2, Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (pindaan 2013) yang menyatakan filem termasuk filem cerita pendek, subjek ringkas, trailer, dokumentari, filem kecil iklan dan apa-apa rakaman pada apa-apa jenis bahan termasuk pita video dan ceper video berupa arca bergerak, sama ada disertai dengan bunyi atau tidak untuk dilihat oleh orang ramai atau mana-mana golongan ramai.

Antara babak dalam filem pendek arahan Alieff Irfan.

Mengulas lanjut Alieff yang terkenal dengan filem pendek dalam dialek Kelantan bagaimanapun menerima dengan hati terbuka jika pelaksanaan peraturan tersebut hanya dikenakan kepada YouTuber atau pengarah filem pendek sepertinya.

Katanya, ia merupakan satu langkah yang baik untuk pengarah muda bekerjasama dengan Finas.

"Kalau mereka mahu melaksanakan peraturan itu kepada YouTuber seperti saya yang menerbitkan filem-filem pendek, saya masih boleh terima.

"Sebagai pengarah filem pendek, saya juga punya impian untuk mengarah filem pada masa akan datang. Jadi saya anggap ia satu langkah untuk pengarah muda seperti kami bekerjasama dengan Finas," jelasnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram

Artikel Lain