suria

Zizan tak simpan perasaan terhadap Hawa Rizwana - “Orang cuba padankan, saya rasa kelakar sebab dia terlalu muda”

Zizan hanya menganggap Hawa tidak lebih daripada seorang adik.

SETIAP kali dilihat rapat dengan mana-mana gadis, pelakon dan pelawak Zizan Razak tidak terlepas daripada telahan nakal kononnya sedang hangat bercinta.

Terbaharu Zizan dikaitkan pula dengan penyampai berita dan pengacara Wanita Hari Ini iaitu Hawa Rizwana Redzuan.

Walaupun mengakui Hawa, 25, seorang gadis yang baik, Zizan berkata dia tidak pernah menyimpan perasaan terhadap personaliti televisyen itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Hawa Rizwana tepis gosip cinta dengan 3 artis popular - “Saya nak lelaki matang, penyayang... paling penting kena kenal bapa dulu”

ARTIKEL BERKAITAN: Zizan Razak pernah fikir diri bermasalah, punca hubungan cinta tak menjadi - “Tunggu mak paksa baru saya cari pasangan”

"Saya pun tak tahu kenapa digosipkan dengan Hawa. Saya menganggap dia sebagai adik sahaja, tidak lebih daripada itu.

"Saya juga tak pernah ada perasaan kepada dia dan pada saya Hawa seorang anak yang sangat baik, adik yang sangat konsisten dengan kerja. Cara mengayuh pun menunjukkan dia seorang yang fokus dengan apa yang dia buat," katanya kepada mStar.

Spekulasi hubungan cinta Zizan dan Hawa bermula selepas mereka berkongsi foto mengayuh basikal bersama.

Menurut Zizan atau nama sebenarnya Mohammad Razizan Abdul Razak, 36, dia tidak mahu gosip seperti ini menjejaskan nama baik mereka berdua dalam kerjaya masing-masing.

Pelakon filem Hantu Bonceng ini turut berkata mereka tidak berhubung melainkan berkaitan aktiviti beriadah.

Di samping itu, Zizan mengakui risau spekulasi mengenai mereka berdua akan mendatangkan perkara tidak baik pada masa akan datang.

"Saya sokong dia... dan pada masa sama apabila orang gosip pasal kami, saya risaukan kerjaya dia... saya pun risau dengan kerjaya saya.

Zizan tidak mahu kerjayanya dan Hawa terganggu disebabkan gosip tidak berasas.

"Saya pun tak nak orang bercerita begini sampai jadi gosip dan orang mula percaya yang kami ada apa-apa. Kalau tak fasal mengayuh, kami tak berhubung pun.

"Saya risau ia menjadi spekulasi yang boleh mendatangkan benda tidak baik. Saya cerita benda ni supaya orang faham yang kami hanyalah seperti abang dan adik," jelasnya.

Dalam pada itu, Zizan menyifatkan cubaan orang sekeliling untuk satukan dia Hawa adalah tidak masuk akal kerana gadis itu terlalu muda dan kerjayanya dalam industri media baharu sahaja bermula.

Tambahnya, dia tidak mahu nama baik mereka berdua tercemar dengan gosip yang tidak berasas.

Saya rasa kelakar sebab dia terlalu muda.

ZIZAN RAZAK

PELAWAK DAN PELAKON

"Apabila orang cuba nak padankan dengan dia, saya rasa kelakar sebab dia terlalu muda.

"Saya nak dia berkerja dengan baik. Saya tak nak dia naik dengan gosip. Saya pun tak nak apabila orang sebut nama saya... orang akan ingat sebab perempuan," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain