suria

Cemas! Mak Wan jatuh pengsan semasa 'live', Didie Alias terpaksa hentikan rancangan - “Dia terkejut dapat tajaan tunai umrah”

Impian Mak Wan tunai umrah tercapai.

PELAKON senior Mak Wan jatuh pengsan selama lima minit setelah dimaklumkan menjadi penerima sumbangan tajaan pakej menunaikan ibadah umrah.

Detik cemas itu dikongsi oleh pelakon Didie Alias yang menyaksikan insiden itu semasa siaran langsung dalam sebuah program di laman Facebook, baru-baru ini.

Cerita Didie, dia selaku pengacara program terkejut apabila Mak Wan atau nama sebenarnya, Halimaton Saadiah Mohd Daud tiba-tiba sesak nafas dan pengsan selepas dimaklumkan mengenai sumbangan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: “Siang kerja pejabat, petang berniaga sate di kaki lima jalan” - Didie Alias sebak keperitan jadi ibu tunggal besarkan lima anak

"Semua kru di studio terkejut termasuklah saya! Mak Wan tiba-tiba sesak nafas, pitam dan pengsan dengan mata terbuka dan mulut ternganga kira-kira lima minit sebelum sedar semula.

"Kita terpaksa hentikan program tersebut... Mak Wan terkejut apabila mengetahui impiannya itu tercapai dan tak sangka ada pihak bermurah hati menajanya menunaikan umrah.

Program terpaksa dihentikan apabila Mak Wan pengsan setelah menerima sumbangan pakej umrah.

"Bagaimanapun keadaan semuanya terkawal dan kami sambung semula program selepas Mak Wan kembali stabil. Mungkin sebab Mak Wan ada asma menjadi faktor sesak nafas!," katanya kepada mStar.

Program bual bicara Lady Didie Talk Show bersiaran selama 13 episod boleh ditonton di Facebook Lady Didie TV dan Youtube Didie TV setiap hari Jumaat dan Ahad pukul 9 malam.

Dalam program tersebut, artis jemputan dan individu yang kurang bernasib baik akan diundang dan menerima sumbangan tajaan daripada penaja.

Program siaran langsung ini beri sumbangan untuk golongan artis dan mereka yang memerlukan.

Sementara itu, Didie berkata pihak penaja bersetuju untuk memberikan sumbangan pakej umrah tersebut setelah mendengar luahan hati Mak Wan.

"Mak Wan kata nak buat umrah itu memang impian dia sebab dia pun tak berapa sihat... sedih apabila dia kata sudah lama teringin nak pergi umrah, nak mati dekat sana dan sebagainya.

"Selepas berkongsi cerita, kita buat kejutan dengan menyerahkan mock up hadiah tajaan secara langsung dan dia sangat terkejut.

"InsyaAllah selepas Perintah Kawalan Pergerakan dan semua orang boleh keluar negara seperti biasa, Mak Wan akan berlepas ke Makkah, ” ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Mak Wan, Didie Alias

Artikel Lain