suria

Baru berusia lima tahun, Ayu Damit bangga anak bongsu buat permintaan nak sunat - “Dia cakap sendiri dengan doktor”

Penyanyi Ayu Damit kagum apabila anak lelakinya yang baru berusia lima tahun meminta untuk berkhatan.

PENYANYI Ayu Damit meluahkan rasa bangga dan terkejut apabila anak bongsunya, Syed Aqif Najmi secara tiba-tiba meminta untuk bersunat walaupun baru berusia lima tahun.

Ayu, 31, berkata, anaknya Syed Aqif atau lebih mesra dipanggil Aish membuat permintaan itu terus kepada doktor ketika mereka sekeluarga berada di sebuah hospital bagi mengkhatankan abangnya iaitu Syed Nashrul Haikal, 11.

ARTIKEL BERKAITAN: Kurang muncul di TV bukan bermakna Ayu Damit tiada 'job' - “Jadual saya tak pernah kosong setiap hujung minggu”

"Sebenarnya masa bangun pagi tu dia dah tanya boleh ke dia nak sunat sekali. Jadi saya beritahu nanti kita tanya dengan doktor kerana saya fikir dia main-main saja.



Ayu berkongsi rasa bangga dengan sifat anak bongsunya, Syed Aqif Najmi yang meminta untuk berkhatan.

"Sampai di hospital dia cakap sendiri dengan doktor yang dia nak sunat. Saya dengan suami terpinga-pinga sebab dia betul-betul berani nak sunat!," katanya kepada mStar.

Selepas mendapatkan nasihat doktor, Ayu dan suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin menuruti permintaan anak mereka untuk berkhatan bersama-sama abangnya.

Dia tidak mengadu sakit sampailah selesai proses berkhatan.

AYU DAMIT

PENYANYI

Menurut Ayu, Aish seorang kanak-kanak yang kuat kerana langsung tidak menangis sepanjang proses tersebut.

"Saya dan suami minta doktor pastikan sama ada Aish dah boleh sunat. Doktor kata boleh dan kami terus setuju untuk sunatkan dia sekali.

"Memang Aish sangat kuat sebab masa doktor suntik bius pun dia tak ada cakap sakit sampailah selesai berkhatan. Cuma lepas habis tu dia macam blur sikit," ujarnya.



Aish, dua dari kanan berkhatan bersama abangnya, Syed Nashrul Haikal dan dua sepupu mereka.

Sementara itu, Ayu berkata, dia turut menunaikan permintaan anaknya sebagai hadiah berkhatan yang mahu dimasakan makanan kegemaran dan permainan.

"Kalau ikutkan pada awalnya hanya Haikal yang nak bersunat jadi dia nak saya masak makanan kegemaran dia iaitu ketam masak lemak nanas, udang sambal dan kerang rebus.

"Aish pula minta mainan lori besar dan kereta kawalan jauh tapi saya kata lepas dia sembuh dan selesai berpantang baru kami belikan," jelasnya.

Ayu dan suaminya, Syed Fauzi berkahwin pada tahun 2009 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Syed Nashrul Haikal, 11, Sharifah Alya Aryana, 8, dan Syed Aqif Najmi yang berusia lima tahun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ayu Damit

Artikel Berkaitan

Artikel Lain