suria

Berbaloi ‘tadah telinga’, Mila Jirin menitis air mata sampai sujud syukur! - “Walaupun mula-mula saya dikecam sehingga viral”

Mila bersyukur usahanya membuahkan hasil apabila kerajaan membenarkan pengusaha industri perkahwinan meneruskan operasi.

PENYANYI Mila Jirin memanjatkan kesyukuran dengan pengumuman kerajaan membenarkan pengusaha majlis perkahwinan memulakan operasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

Menurut Mila atau nama sebenar Norsyarmilla Jirin, 33, dia menitiskan air mata selepas mendengar keputusan yang dimaklumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu lalu.

“Alhamdulillah sujud syukur saya kepada Allah, mengalir air mata saya apabila terima banyak mesej ucapan terima kasih daripada sahabat industri.

ARTIKEL BERKAITAN: Mila Jirin makin gelisah tunggu berita baik nasib industri perkahwinan - “Semoga Allah permudahkan urusan kami!”

“Perasaan gembira dan sebak itu bukan hanya kerana syarikat kami Bizmilla boleh beroperasi semula, tetapi sebab dapat membantu semua pengusaha industri perkahwinan memulakan perniagaan.

“Rata-rata semua sedang mengalami masalah dalam menguruskan perniagaan termasuklah pekerja yang terkesan tiada pendapatan. Kebenaran ini secara tak langsung dapat membantu menyelamatkan ramai peniaga dan pekerja. Itu yang paling saya gembira!, ” katanya kepada mStar.



Mila bersyukur dapat teruskan perniagaan.

Pada Rabu, Ismail mengumumkan kerajaan memberi kebenaran untuk penganjuran majlis kenduri kahwin dan majlis sosial lain berkuatkuasa pada 1 Julai ini.

Bagaimanapun majlis tersebut hanya boleh dilakukan dalam tempoh tiga hingga lima jam dan terhad kepada 250 tetamu pada satu-satu masa mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Dalam pada itu, Mila berharap rakan industri yang lain dapat mematuhi segala SOP yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan pelanggan dan pengunjung majlis berkenaan.

“Harapan saya semua rakan di dalam industri perkahwinan untuk dapat mematuhi SOP yang dikeluarkan kerajaan... mohon memantau dan memastikan penjarakkan sosial itu dijadikan keutamaan.

“Buat bakal pelanggan dan raja sehari... InsyaAllah kami akan komited dalam menguruskan majlis perkahwinan itu kelak. Kita pastikan keadaan semua baik-baik dan meraikan hari bahagia itu dengan gembira.



Mila mewakili Persatuan Industri Perkahwinan Malaysia (AWIM) membentangkan SOP kepada kerajaan.

“Paling menggembirakan apabila rakan industri mesej beritahu ramai pelanggan mahu menjalankan majlis perkahwinan mereka pada Julai ini, yang merancang nak tangguh tahun depan kembali menukar tahun ini semula, ” ujarnya yang akan memulakan operasi Bizmilla pada Jumaat.

Meskipun pernah dikecam kerana lantang bersuara mengenai isu ini, Mila berkata usaha yang digerakkan olehnya dan rakan industri lain membuahkan hasil atas kerjasama rakan media.

“Sebelum ini saya ada buat buat kenyataan memohon pihak kerajaan memberi kebenaran buat kami industri perkahwinan membentangkan cadangan SOP dan mempertimbangkan kebenaran untuk kami beroperasi semula.

“Walaupun saya dikecam hebat di laman sosial sehingga ianya viral dan mendapat perhatian ramai, saya berterima kasih kepada media membantu menyuarakan suara kami di sidang akhbar harian menteri kanan.

“Pada 16 Jun lalu, saya mewakili ribuan pengusaha industri perkahwinan ke pejabat menteri menghantar SOP kepada kementerian untuk diperhalusi bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Mila Jirin, Ismail Sabri Yaakob

Artikel Lain