“Saya bukan jenis penipu, demi Allah! Prada itu beli di kedai bundle” - Azharina ulas beg sekolah jenama mewah, bapa tutup ‘shopping mall’ sejam

Penyanyi Azharina Azhar dikecam segelintir netizen tentang kenyataannya menggunakan beg jenama Prada.

GARA-GARA berkongsi kenangan manis ketika zaman persekolahan, penyanyi Azharina Azhar dikecam segelintir netizen yang mempersoalkan kenyataannya menggunakan beg jenama terkenal Prada pada usia muda.

Kesal dengan perkara itu, Azharina, 35, berkata dia tidak mereka-reka cerita kerana apa yang disampaikan kepada media itu adalah perkara benar.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga pekerja kena tangkap, Azharina tutup kedai 'sayap' ayam madu

Terang Azharina, beg jenama Prada itu dibeli oleh ibunya di sebuah kedai menjual barangan terpakai atau bundle.

"Saya bukan jenis orang penipu, demi Allah.

Azharina tidak hairan dengan barangan berjenama.

"Prada itu ibu saya belikan dari makcik di Keningau yang ada 'rombengan' atau orang Semenanjung panggil kedai bundle.

"Saya membesar dengan keluarga yang sukakan barangan bundle. Makcik saya sendiri buka bisnes bundle.

"Kalau orang nak kata saya menipu dan hanya ingin menunjuk-nunjuk, saya sejujurnya tak hairan dengan barang berjenama sebab saya sendiri membesar dengannya," katanya kepada mStar.

Penyanyi lagu Elegi Sepi ini menjelaskan kesangsian yang dibangkitkan netizen berhubung kenyataannya di sebuah portal hiburan berkaitan hadiah beg Prada sebagai keperluan sekolah.

Azharina berkata beg jenama Prada pemberian ibunya itu dibeli di kedai bundle.

Bukan itu sahaja, perkongsian Azharina mengenai momen bapanya menutup sebuah kompleks beli-belah di Miri, Sarawak semata-mata mahu memberi laluan dia mencari barang keperluan turut menimbulkan kesangsian.

Menjelaskannya Azharina berkata, adik perempuannya yang ketika itu belajar di sebuah sekolah menengah di Miri mengalami tekanan perasaan berikutan rindukan keluarga di Sabah.

Oleh yang demikian Azharina berkata, bapanya cuba menggembirakan adiknya agar tidak melakukan perkara yang salah.

Adik saya juga merupakan anak kesayangan, ayah buat keputusan untuk bawa kami beli-belah.

AZHARINA AZHAR

PENYANYI

"Adik perempuan saya jatuh sakit kerana terlalu rindukan rumah dan keluarga di Sabah.

"Sebaik sahaja mendapat tahu berita itu, kami terus terbang ke Miri untuk melawat adik saya.

"Adik saya juga merupakan anak kesayangan ayah, jadi untuk meyakinkan dia untuk tetap tinggal di Miri dan menyambung persekolahannya di sana, ayah buat keputusan untuk bawa kami beli-belah.

"Apabila saya dah dewasa, baru saya faham kenapa ayah buat begitu. Dia memang jenis yang suka manjakan anak-anaknya," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Azharina Azhar

Artikel Berkaitan

Artikel Lain