Perjanjian duta produk terjejas, Linda Rafar rugi RM500,000 laman sosial digodam - “Saya percaya hacker berada di dalam Malaysia”

Linda Rafar membuat laporan polis laman sosial miliknya digodam minggu lalu.

SUSULAN beberapa kes laman sosial selebriti Malaysia hampir digodam minggu lalu, nasib pelakon dan penyanyi Linda Rafar lebih malang apabila dia kehilangan lebih 900,000 pengikut di Instagram dan Facebook akibat tindakan pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut Linda, 41, dia menyedari keadaan itu apabila nama serta emel Instagram miliknya bertukar selepas cuba mendaftar masuk dan membuat pengesahan sebagai pemilik akaun dan alamat emel tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Suria FM hilang 333,000 pengikut gara-gara IG digodam, Tokti dan Nad Zainal nyaris jadi mangsa!

"Saya menyedari akaun Instagram digodam pada 4 Jun lalu apabila nama akaun @Lindarafar bertukar kepada @furkanxonuronline.

"Kemudian saya cuba untuk log masuk ke dalam emel saya Lindarafarr@gmail.com tetapi ia bertukar kepada @furkanbeyzsksk@gmail.com di mana alamat emel ini diperolehi apabila saya ingin membuat pengesahan sebagai pemilik alamat emel," katanya.



Akaun Instagram dan Facebook Linda Rafar digodam pada 4 Jun lalu.

Linda ditemui pada sidang media khas berkaitan isu berkenaan di pejabat guaman Tetuan Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak pada selasa.

Dalam pada itu, dia turut mengesyaki individu itu berada di Malaysia berikutan nombor telefon untuk pengesahan alamat emel adalah menggunakan kod Malaysia.

"Saya percaya bahawa penggodam ini berada di dalam Malaysia kerana apabila saya ingin membuat pengesahan emel, kod pengesahan telah diserahkan kepada pemegang nombor dengan kod nombor Malaysia," ujarnya



Laman sosial yang digodam menjejaskan punca pendapatan Linda sebagai artis dan duta produk.

Laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) juga dibuat anggota kumpulan Elite itu pada 5 Jun lalu.

Penyanyi itu berkata perkara yang terjadi ini memberi kesan buruk kepadanya kerana dia turut menghadapi kerugian kira-kira RM500,000 yang melibatkan perjanjian dan peranannya sebagai duta produk.

"Saya telah membuat laporan polis pada 5 Jun lalu. Saya juga telah melaporkan isu ini kepada SKMM untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.

"Bagi individu seperti saya yang kebanyakan urusan seperti perniagaan dan kerjaya saya melalui laman sosial, ianya memberi kesan yang amat buruk.

Laman sosial yang digodam merupakan salah satu punca pendapatan

LINDA RAFAR

PENYANYI

"Ia menyebabkan kerugian besar yang melibatkan perjanjian serta urusan saya dengan klien, serta peranan saya sebagai duta bagi beberapa produk turut terjejas sama sekali," ujarnya.

Ujar Linda, tindakan tidak bertanggungjawab penggodam tersebut menjejaskan punca pendapatan kebanyakan artis selain dirinya.

Tambahan pula, ia lebih memberi kesan pada waktu ekonomi negara yang tidak menentu sepanjang pandemik Covid-19 ketika ini.

"Laman sosial merupakan salah satu punca pendapatan kami dan apabila pihak yang tidak bertanggungjawab ini melakukan kerja-kerja seperti ini ianya amat memberi kesan terutamanya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini," jelasnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Linda Rafar

Artikel Berkaitan

Artikel Lain