suria

Suria FM hilang 333,000 pengikut gara-gara IG digodam, Tokti dan Nad Zainal nyaris jadi mangsa!

Akaun Instagram Suria FM digodam individu tidak bertanggungjawab.

TINDAKAN pihak tidak bertanggungjawab melakukan cubaan mengodam akaun pengguna laman sosial terus berleluasa terutamanya membabitkan golongan selebriti dan influencer.

Kali ini, stesen radio Suria FM pula memaklumkan akaun Instagram milik mereka @suriamalaysia tidak dapat diakses dan dipercayai menjadi mangsa penggodam.

Menerusi kenyataan kepada mStar, Suria berkata akaun tersebut hilang daripada carian sejak petang Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Hadiah ulang tahun paling manis! Suria FM berjaya kukuhkan kedudukan antara stesen radio popular

"Suria FM ingin memaklumkan bahawa akaun media sosial Instagram tidak lagi dapat diakses dipercayai digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Perkara ini disedari oleh pihak Suria FM dan kini kami sedang berusaha untuk mendapatkan kembali akaun tersebut," katanya.



Penyampai Team Pagi Suria, Issey, Ajak dan Fizi Ali.

Sementara itu, Suria FM menasihati pendengar dan pengikut mereka supaya turut berhati-hati dengan sebarang mesej mencurigakan yang dihantar individu tidak dikenali.

Malah, stesen tersebut akan membuat laporan polis bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku dan berulang kembali.

"Kami menasihati pengikut-pengikut akaun Suria Malaysia untuk tidak melayan sebarang DM dan mesej palsu yang menggunakan nama Suria Malaysia atau nama asing.

"Sebarang maklumat terkini hanya akan dimaklumkan melalui akaun media sosial Facebook dan Twitter Suria FM sahaja buat sementara waktu," ujarnya.



Siti Nurhaliza dan Nad Zainal berkongsi mesej diterima dari penggodam.

"Kami akan membuat laporan polis bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk dan lebih ramai akaun yang diikuti Suria FM Malaysia digodam.

Untuk rekod, Suria Malaysia memiliki lebih 333,000 pengikut di lnstagram dan hampir 800,000 pengikut di Facebook.

Pada pagi Khamis, dua selebriti iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Nad Zainal berkongsi paparan skrin mesej yang diterima daripada individu tidak dikenali menyamar sebagai wakil Instagram meminta pengguna melayari link yang diberikan.

Mesej palsu itu turut dihantar kepada Instagram @mstaronlineofficial dan dipercayai merupakan antara taktik penggodam untuk mengakses akaun seseorang.

Suria FM

Artikel Lain