Syura Badron ‘up status’ bosan hidup menjanda? - “Agak kurang ajar! Dia buat seperti saya desparate sangat nak cari suami”

Syura belum bersedia untuk kembali berumah tangga.

PENYANYI Syura Badron meluahkan rasa kesal terhadap individu yang menyamar dengan menggunakan gambarnya di Facebook dan memuat naik status menjatuhkan maruahnya.

Menurut Syura, 34, perbuatan itu adalah kesalahan serius memandangkan semua status yang dimuat naik penyamar tersebut menggambarkan dia seolah-olah sangat terdesak untuk mencari pasangan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya rasa seperti dianiaya!” - Syura Badron kecewa hanya terima 6 peratus bayaran teater Korupsi Dewan Semandung

Pemilik nama Zuraidah Badron itu berkata dia sedia mengambil tindakan selanjutnya sekiranya perbuatan individu itu melampaui batas.

"Saya sedar akaun palsu itu dah wujud lama dan sebagai selebriti sebenarnya saya tak ambil kisah sangat bab akaun palsu ini tapi kali ini saya rasa individu itu sudah melampau sebab menyamar sebagai diri saya.

Syura berkongsi paparan skrin akaun palsu yang menggunakan namanya.

"Individu itu memuat naik status yang boleh menyebabkan orang luar berfikiran negatif terhadap saya. Kebanyakan status yang dikongsikan memperlihatkan saya seperti desparate sangat nak cari suami.

"Buat masa ini saya minta tolong netizen lapor terhadap pengendali Facebook. Sejak beberapa hari lalu sehingga hari ini, tiada status yang dimuat naik individu tersebut.

"Tapi kalau selepas ini, individu tersebut masih melakukan perkara sama, saya tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis pula," kata Syura kepada mStar.

Syura diminta mengulas mengenai paparan skrin akaun palsu di Facebook seperti yang dikongsikannya di Instagram.

Soal jodoh ini, saya tak berani nak ulas sangat sebab kita pun tak tahu bila Allah nak berikan rezeki itu.

SYURA BADRON

PENYANYI

Menerusi perkongsian tersebut, Syura meminta pertolongan netizen di laman sosial untuk membuat laporan mengenai akaun tersebut yang kerap berkongsi status memalukan.

Dalam pada itu, Syura memberitahu dia kini selesa dengan kehidupan bersama tiga orang anaknya biarpun sudah hampir enam tahun bergelar ibu tunggal.

"Saya tak pernah nak tolak jodoh dan siapa yang tak nak ada pasangan hidup. Sudah tentu saya ada niat nak kahwin tapi mungkin belum tiba masa yang sesuai.

"Buat masa sekarang ini, saya belum bersedia untuk berumah tangga lagi. Alhamdulillah, saya masih mampu menyara diri sendiri dan tiga orang anak saya.

Syura selesa menjalani kehidupan bersama anak-anak.

"Soal jodoh ini, saya tak berani nak ulas sangat sebab kita pun tak tahu bila Allah nak berikan rezeki itu. Tapi saya tak pernah rasa fobia atau takut nak kahwin lagi," ujarnya.

Syura dan bekas suaminya iaitu Mohd Fadhly Md Yassin berpisah pada Ogos 2015 selepas sembilan tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil perkahwinan pasangan itu dikurniakan tiga orang anak iaitu Nurul Dania Irdani, 13, Nurul Qaisara Sofia, 11, dan Muhammad Irfan Aryan, 9.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Syura Badron,

Artikel Berkaitan

Artikel Lain