suria

“Saya rasa seperti dianiaya!” - Syura Badron kecewa hanya terima 6 peratus bayaran teater Korupsi Dewan Semandung

Syura hanya terima 6 peratus daripada bayaran penuh dan ingin menuntu selebihnya daripada Ogy.

PENYANYI Syura Badron mengakui perkongsian mengenai doa orang dianiaya yang dimuat naik di Instagramnya mempunyai kaitan dengan isu tidak menerima tunggakan bayaran daripada penerbit teater Korupsi Dewan Semandung.

Menurut Syura atau Zuraidah Badron, 34, tujuan dia berkongsi perkara itu bukan kerana ingin membuka aib mana-mana pihak namun hanya menuntut haknya dan rakan-rakan selebriti serta kru yang terlibat dalam pementasan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Rasa tertipu soal bayaran, pelakon teater Korupsi Dewan Semandung buat laporan polis terhadap Ogy

"Saya memang terasa dianiaya dan itu yang saya rasa sebagai seorang artis yang sudah menjayakan teater itu seperti yang diminta. Walaupun saya terlibat pada saat akhir tapi saya sudah jalankan tanggungjawab.



Syura memuat naik doa orang dianiaya di Instagram.

"Mungkin ada pelakon dan kru yang sudah menerima 30 peratus tapi sehingga kini saya hanya dapat 6 peratus dan ada yang masih belum menerima apa-apa pembayaran yang mana mengikut perjanjian kontrak, bayaran 60 peratus patutnya sudah diterima satu hari sebelum persembahan berlansung.

"Pada mulanya saya dan beberapa rakan artis yang terlibat tidak mahu hebohkan perkara ini atau membuka aib memandangkan nama kak Ogy sangat besar dalam industri malah dia juga seorang yang disegani dalam dunia lakonan.

"Tapi sudah hampir dua bulan kami tidak menerima bayaran penuh yang sepatutnya dalam perjanjian kontrak perlu diberikan pada 16 Mac lalu. Jadi, apa yang saya dan rakan lain buat untuk tuntut hak kami sahaja," katanya kepada mStar.

Atas dasar hormat dan percaya, saya pada mulanya tak kisah teruskan lakukan persembahan pementasan itu tanpa diberi bayaran seperti yang dijanjikan.

SYURA BADRON

PENYANYI DAN PELAKON

Menerusi laporan mStar pada Jumaat, penulis skrip teater itu iaitu Aloy Paradoks mendedahkan dia masih belum menerima baki tunggakan bayaran daripada penerbit Fauziah Ahmad Daud atau Ogy.

Enggan membiarkan isu itu terus menjadi polemik dalam kalangan netizen dan penggiat seni, Ogy tampil mengakui kebenaran mengenai rungutan yang disuarakan Aloy.

Ogy menjelaskan dia berhadapan dengan masalah kewangan menyebabkan sehingga kini tidak dapat memberi bayaran seperti yang dijanjikan kepada pelakon dan kru terlibat dalam pementasan tersebut.

Dalam pada itu, Syura meluahkan rasa terkilan dengan sikap Ogy yang dilihat berdiam diri selepas didesak untuk bayaran tersebut pada Khamis.

Dedah Syura, ada beberapa rakan selebriti yang sudah membuat laporan polis berhubung isu tersebut dan dia juga akan turut mengambil langkah yang sama.



Barisan pelakon dan pengarah teater tersebut.

"Atas dasar hormat dan percaya, saya pada mulanya tak kisah teruskan lakukan persembahan pementasan itu tanpa diberi bayaran seperti yang dijanjikan. Tapi tak sangka pula akhirnya boleh jadi begini.

"Tapi saya kecewa sebab kak Ogy hanya berdiam diri tanpa memberitahu apa-apa selepas kami mendesaknya untuk melunaskan bayaran tersebut sejak Khamis sehingga sekarang.

"Saya difahamkan ada beberapa rakan artis yang sudah membuat laporan polis dan Insya-Allah saya juga akan melakukan perkara yang sama dalam masa terdekat. Harapan saya, isu ini boleh diselesaikan cepat,"ujarnya.

Selain Syura, teater arahan Khir Rahman yang ditayangkan pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu di Istana Budaya itu dibintangi Joey Daud, Vicha, Mark Adam, Tauke Jambu, Che Mat, Chiwan, Tapai dan Sharif Zero.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Syura Badron, Ogy Ahmad Daud,

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Wanita berang mentua melahap kek perkahwinan