suria

Wak Doyok mengaku tidak bersalah guna lambang Sultan Johor tanpa kebenaran

Wak Doyok mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan lambang diraja Johor.

PERSONALITI fesyen dan pelakon, Wak Doyok didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menggunakan lambang kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar tanpa kebenaran baginda.

Bagaimanapun Wak Doyok atau nama sebenarnya, Mohd Azwan Md Nor, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Wak Doyok dipanggil polis Johor isu guna cincin lambang peribadi Sultan Ibrahim

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan lambang kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim bagi tujuan persendirian tanpa mendapatkan kebenaran bertulis daripada Sultan Johor.



Wak Doyok menempah dan membeli cincin lambang diraja Johor.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri kira-kira jam 2.15 petang pada 30 April lalu.

Pelakon filem Abang Long Fadil 2 itu didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017.

Ia membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM250,000 atau tidak lebih RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.



Sebelum ini, Wak Doyok ada membuat permohonan maaf kepada kerabat diraja Johor.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, MN Halim Md Amin dan Syaffie Naim.

Terdahulu, Nor Azizah menawarkan jaminan RM50,000 ke atas tertuduh berikutan keseriusan kes yang dituduh ke atasnya.

Namun, peguam tertuduh merayu denda yang rendah dengan alasan anak guamnya menjaga ibunya yang berusia 78 tahun di samping pendapatan perniagaannya terjejas akibat pandemik COVID-19.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dijamin sebanyak RM35,000 dengan seorang penjamin manakala sebutan kedua kes ditetapkan pada 15 Jun depan bagi penyerahan dokumen.



Wak Doyok ketika berada di Kompleks Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Sebelum ini, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Sultan Ibrahim memuat naik satu paparan skrin daripada posting Instagram menuntut Wak Doyok memberi penjelasan mengenai sebentuk cincin dengan ukiran lambang peribadi Sultan Johor yang ditempah selebriti itu.

Menerusi laporan mStar pada 28 April lalu, Wak Doyok tampil membuat permohonan maaf kepada kerabat Diraja Johor atas kecuaian dan kesilapannya menyalahgunakan lambang peribadi institusi diraja berkenaan.

Wak Doyok didakwa menempah dan membeli cincin dengan ukiran lambang peribadi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar itu pada 2018 melalui dalam talian dari sebuah syarikat di Indonesia.

Sumber - Berita Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain