suria

Liza Hanim dapat ilham 'Tiada' saat terkenang arwah bapa - “Terbayang wajah ayah hati pun sayu... tiba-tiba datang melodi”

Idea lagu Tiada tercetus ketika dia merindui dan terkenangkan arwah bapanya.

SETELAH beberapa tahun tidak muncul dengan lagu baharu, penyanyi Liza Hanim kini tampil dengan single berjudul Tiada bagi mengubat kerinduan peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya.

Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim berkata idea menghasilkan lagu tersebut mula tercetus ketika dia berada dalam kereta menuju ke tempat kerjanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa Liza Hanim meninggal dunia

Penyanyi berusia 41 tahun ini memberitahu ketika itu dia sedang merindui dan terkenangkan arwah bapanya yang meninggal pada tahun lalu.

"Idea itu muncul ketika saya sedang dalam perjalanan menuju tempat kerja. Jadi dalam kereta tu kalau kita bawa sorang-sorang mulalah terfikir macam-macam dan teringat orang tu teringat orang ni.

Liza dapat idea cipta lagu tersebut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Pada masa itu saya teringat arwah ayah, terbayang wajah dia hati pun sayu... tiba-tiba datang pula melodi tu, saya pun terus ambil telefon dan merakam melodi tersebut.

"Bila dah sampai rumah, saya dengar balik melodi itu dan rasanya boleh diusahakan," kata Liza ketika dihubungi mStar.

Allahyaham bapa Liza iaitu Abdul Halim Abd Razak meninggal dunia pada 21 Jun tahun lalu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) akibat kanser paru-paru.

Dalam pada itu, hasrat untuk bekerjasama dengan pengarah muzik Lok U tidak kesampaian apabila Allahyarham meninggal dunia 22 Januari lalu. 

Liza meluahkan isi hatinya dan diterjemah dengan baik oleh Fedtri Yahya selaku penulis lirik seterusnya mendapat sentuhan Sharon Paul dalam susunan muzik.

Bila tiba-tiba jadi macam ni saya fikir balik sama ada perlu dilancarkan atau tidak. 

LIZA HANIM

PENYANYI

"Sebenarnya lagu ini saya nak bekerjasama dengan arwah Lok U, memandangkan dia sibuk jadi saya perlu mencari orang lain. Saya pun ada rancangan lain untuk dibuat bersama dia nanti tapi ditakdirkan dia sudah dijemput oleh Allah.

"Daripada idea sampai penghasilan lagu dalam tiga hingga empat bulan termasuk berbincang dengan arwah Lok U dan perlu cari orang lain sebab dia meninggal. Jadi, saya beri lagu tu kepada Fedtri Yahya.

"Selepas itu, bila dia bagi lirik dan saya sukakannya kerana dia sangat memahami apa yang saya maksudkan. Lagu ini saya rakam dengan Sharon, kalau tak silap awal bulan Februari," ujarnya.

Dalam pada itu, Liza memberitahu dia dan pihak produksi sudah menetapkan tarikh pelancaran lagu terbaharunya itu sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan.

Liza dan pihak produksi sudah lama merancang untuk melancarkan lagu Tiada pada Isnin.

Meskipun dalam suasana PKP, Liza tidak menganggap itu sebagai satu halangan besar dan mengharapkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap lagu Tiada.

"Selepas rakaman, kita duduk berbincang dan tetapkan tarikh untuk pelancaran lagu ini iaitu hari ini tanpa kita tahu PKP akan berlaku.

"Bila tiba-tiba jadi macam ni saya fikir balik sama ada perlu dilancarkan atau tidak. Tapi saya rasa sesuai untuk dilancarkan kerana lagu Tiada menceritakan tentang kehilangan seseorang.

"Kita kehilangan banyak benda sepanjang PKP ini, jadi semua orang berkaitan dengan lagu ini. Peminat saya pun sudah lama menantikan lagu ini dan saya rasa inilah masa yang sesuai untuk hiburkan mereka sepanjang PKP ini," ujarnya.

Lagu Tiada telah dilancarkan di semua platform digital bermula pada Isnin.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Bapa MB Selangor meninggal dunia