suria

Joy Revfa selamat bertunang, nikah lepas Hari Raya Aidilfitri - “Dia seorang yang jaga solat dan tak pernah bersentuhan dengan saya”

Joy bakal berkahwin dengan ahli perniagaan.

TIDAK berasa bimbang dengan tanggapan orang luar, usahawan kosmetik selamat mengikat tali pertunangan dengan ahli perniagaan yang dikenali sebagai Z.A pada Sabtu.

Menurut Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin, seseorang wanita itu berhak memilih pasangan yang terbaik dan mampu memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Joy Revfa bakal tamatkan zaman janda - “Saya pilih lelaki yang bijak dalam perniagaan dan agama”

"Saya dah kebal dengan kritikan. Bagi saya, bahagia itu bukan bergantung pada mulut orang lain tapi atas diri kita sendiri.

Antara selebriti yang menghadiri majlis pertunangan Joy.

"Kalau rasa dalam tempoh perkenalan, lelaki itu tak sesuai untuk dijadikan suami dan imam, kita sebagai wanita berhak untuk memilih mana yang terbaik.

"Tak kan kita nak hidup dengan orang yang tak sesuai atau tak bersedia nak pikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga," kata Joy kepada mStar.

Joy memuat naik foto bersama bakal suami yang ditutup wajahnya pada majlis pertunangan mereka yang diadakan pada Sabtu.

Beberapa selebriti antaranya Heliza Helmi, Lufya Omar dan bekas isteri Fizo Omar iaitu usahawan Mawar Abdul Karim turut menghadiri majlis tersebut.

Dalam pada itu, Joy memberitahu dia terpaksa merahsiakan wajah dan identiti kekasihnya kerana bimbang diganggu pihak luar.

Saya terpaksa sorok wajah dan identiti dia sehingga hari pernikahan kami sebab takut nanti ada yang menganggu.

JOY REVFA

USAHAWAN KOSMETIK

Kata bekas isteri kepada penyanyi Hafiz Hamidun ini, mereka berkenalan pada tahun lalu dan jejaka itu mempunyai ciri-ciri lelaki idamannya.

"Saya terpaksa sorok wajah dan identiti dia sehingga hari pernikahan kami sebab takut nanti ada yang menganggu. Sebenarnya saya kenal dia pada hujung tahun lalu.

"Ketika itu, saya hadir di sebuah mesyuarat tentang perniagaan kecergasaan. Dari situ, kami berkenalan dan dia ada ciri-ciri lelaki idaman saya.

"Dia seorang yang sangat jaga solat dan batas pergaulan. Sepanjang kami kenal, dia tak pernah nak bersentuhan dengan saya. 

"Kami banyak berkongsi mengenai perniagaan dan kini dia salah seorang rakan kongsi dalam syarikat saya untuk kecergasaan iaitu Merve Fitness," ujarnya.

Joy bersama keluarga kedua-dua belah pihak.

Sementara itu, Joy merancang untuk melangsungkan perkahwinan selepas menyambut hari raya Aidilfitri.

Menerusi laporan mStar pada 14 Februari lalu, Joy mengakui dia bakal menamatkan zaman jandanya dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Joy pernah menimbulkan spekulasi di laman sosial apabila memberi bayangan seakan-akan dirinya dirisik seseorang yang dipercayai pelakon.

Bagaimanapun, Joy mengesahkan hubungan mereka sudah berakhir.

Sebelum mendirikan rumah tangga dengan Hafiz Hamidun, Joy pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki iaitu Arryan Firdaus yang kini berusia empat tahun.

Joy Revfa, Hafiz Hamidun