suria

“Selagi tak rasa nak muntah jangan berhenti menyanyi” - Aina Abdul bimbang Semalam gagal tandingi Sumpah

Aina mahu lagu Semalam dikenali seperti Sumpah.

SETIAP penyanyi pasti ada cara tersendiri dalam memantapkan vokal nyanyian masing-masing semasa membuat persembahan.

Ini termasuklah penyanyi yang sedang meningkat naik, Aina Abdul yang mengakui ada petua yang diamalkan bagi memastikan vokalnya mencapai tahap yang diingini.

"Sebenarnya petua saya jaga vokal adalah dengan menyanyi sambil berbaring... ini kerana apabila kita baring kita akan fikir tentang pernafasan kita.

ARTIKEL BERKAITAN: Aina Abdul bangkit dengan ‘Sumpah’ selepas alami kemurungan

"Secara tak langsung perut juga akan bekerja keras untuk membantu mengawal nafas, jadi penyanyi ni pun lebih kurang macam atlet, banyak bermain dengan pernafasan.

"Saya dahulu berlatih belajar vokal dengan Cikgu Shafi. Dia garang tapi itu yang bagusnya buat kita lebih serius bekerja... saya juga dilatih untuk terus menyanyi dan jangan berhenti selagi tak rasa nak muntah!," katanya.

Aina akui lagu Semalam lebih mencabar.

Aina ditemui di majlis pelancaran single terbaharu berjudul Semalam di The Majapahit, Mont Kiara, baru-baru ini.

Bercakap mengenai Semalam, Aina berkata lagu ciptaannya ini mengangkat mengenai kemudaratan dalam sesebuah perhubungan.

Mengakui bimbang jika lagu ini tidak menerima sambutan sehebat lagu Sumpah, Aina tetap akan berusaha membawakan lagu tersebut sehabis baik.

"Jika sebelum ini menerusi Sumpah, saya membawakan isu tekanan perasaan dan rasa kesal seseorang. Menerusi lagu Semalam pula, saya membawa tema perhubungan toksik.

Nama Aina Abdul trending kerana lagu Semalam.

"Saya juga mahu melihat lagu ini berjaya seperti Sumpah walaupun saya akui dapat merasakan sedikit tekanan dan takut jika single ini tak dikenali.

"Namun begitu, saya ketepikan perasaan terbabit kerana apa yang lebih penting, saya haruslah berusaha dengan sehabis baik mempromosikan lagu ini dan menyerlahkan bakat yang saya ada demi peminat yang selama ini tak berhenti menyokong," katanya lagi.

Single Semalam sudah berada di semua saluran muzik secara digital menerusi platform Spotify, Joox, Apple Music dan Deezer bermula Jumaat dan lirik videonya juga boleh ditonton di laman YouTube.

Sebelum itu, menerusi laman Twitter, nama Aina Abdul menjadi trending kerana lagu Semalam.

Rata-ratanya memuji lagu tersebut yang dikatakan menyentuh perasaan dan bakal mendapat sambutan seperti lagu Sumpah.

Aina Abdul, Semalam

Artikel Lain