Haneesya Hanee tunjuk bakat jadi penyanyi rap - “Mak beri sokongan dan anggap ia cabaran yang bagus”

Haneesya dapat sokongan ibunya.

PELAKON dan model, Haneesya Hanee bersedia menerima kecaman netizen selepas membuat keputusan menceburi bidang nyanyian dengan melancarkan single pertamanya berjudul Mengejar Mimpi.

Haneesya atau nama sebenarnya Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahalan, 19, berkata, dia membuat keputusan untuk menjadi penyanyi berikutan ingin mencabar diri dalam bidang berbeza.

ARTIKEL BERKAITAN: Haneesya Hanee umum undur diri daripada Twitter - “Ini Sulli punya kata-kata terakhir kan? Tak baiknya ambil ayat orang”

Lebih menarik, menerusi lagu yang berkolaborasi bersama kumpulan Bimasakti ini Haneesya mengetengahkan bakatnya sebagai penyanyi rap.

"Saya pernah menghadapi satu kesukaran dimana saya buat benda baik pun orang akan cakap buruk dan jika buat sesuatu yang buruk lagilah mereka bercakap.

"Jadi lebih baik saya buat perkara yang boleh buat saya gembira dan cuba untuk menjadi yang terbaik dalam hidup. Tak semestinya kena takut dengan kecaman netizen.

"Sampai satu tahap, bila nak post gambar pun saya rasa takut dengan apa yang netizen akan cakap. Tapi bila lagu ini siap, saya persoalkan adakah saya sudah bersedia untuk hadapi ini? Jawapan saya kenapa perlu takut, saya lakukan ini untuk diri saya," katanya.

Haneesya muncul dengan single pertama berkolaborasi bersama Bimasakti.

Haneesya berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran single pertamanya Mengejar Mimpi hasil kolaborasi bersama kumpulan Bimasakti pada Jumaat.

Berkongsi pengalaman pertama kali menjadi penyanyi rap, Haneesya berkata ia sesuatu yang mengejutkan dan menganggap ia sebagai batu loncatan untuknya mengetengahkan bakat yang ada.

Tambahnya, keputusan menceburi bidang nyanyian ini juga dapat sokongan daripada ibunya Nor Sakuraneeda.

"Agak terkejut apabila abang Harris dan abang Jim minta saya ambil bahagian rap. Perkara itu mendapat sokongan mak dan berkata ia cabaran yang bagus.

"Disebabkan itu saya beranikan diri dan cuba buat walaupun pada mulanya kurang yakin. Namun, abang-abang Bimasakti banyak beri tunjuk ajar," jelasnya.

Saya pernah menghadapi satu kesukaran dimana saya buat benda baik pun orang akan cakap buruk. 

HANEESYA HANEE

MODEL DAN PENYANYI

Lagu berjudul Mengejar Mimpi ciptaan Harris Yusoff dan penulis lirik Jim Bimasakti itu berkisarkan suka duka mengenai kisah hidupnya disebabkan oleh gejala buli siber yang semakin meluas dan dilancarkan serentak dengan muzik video secara rasmi bermula hari ini (13 Disember 2019).

Bimasakti dianggotai oleh Hazrul Aliff (vokal), Nurazimullah (pemain gitar), dan Nur Ilham sebagai pemain drum.

Haneesya sebelum ini pernah mencetus kontroversi apabila kemenangannya sebagai juara Dewi Remaja 2018/2019 ditarik semula selepas tular satu video memaparkan dia sedang leka berparti di sebuah kelab malam.

Dia juga dipilih sebagai Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-32 (ABPBH32) pada 22 September lalu.

Haneesya Hani

Artikel Lain