suria

Lima hari pemergian Pitt Hanif, Fauziah Nawi reda - “Pitt memang berpakat dengan arwah baba tinggalkan mama”

Fauziah reda pemergian anak tersayang pada Sabtu lalu. Foto Instagram @pitthanif

GENAP lima hari pemergian anak tercinta iaitu Allahyarham Mohd Firdaus Mohd Hanif atau lebih dikenali sebagai Pitt Hanif, pelakon Fauziah Nawi reda dan menerima ketentuan takdir itu dengan hati terbuka.

Menurut Fauziah, 66, Pitt merupakan seorang anak yang baik dan menghormati dirinya sebagai seorang ibu.

"Alhamdulillah... syukur kerana meminjamkan Allahyarham Mohd Firdaus Mohd Hanif kepadaku ibunya, Ya Allah.

ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah Pitt Hanif ditemui dalam keadaan baik - “Mama minta maaf tak jaga Pitt seperti mana janji pada arwah abah”

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia memancing bersama kawan, dapat ikan dan selepas itu...” - Bot terbalik, anak Fauziah Nawi dikhuatiri lemas

"Hari ni hari kelima Pitt tinggalkan mama. Pitt anak yang baik tak pernah meninggikan suara dan tak pernah mempertahankan diri Pitt biar apa pun mama cakap.

Perkongsian Fauziah mengenai peribadi anaknya itu di laman Instagram.

"Mama reda Pitt.... cuma satu mama nak cakap Pitt memang berpakat dengan arwah baba tinggalkan mama. Tak apa Pitt. Mama reda! Moga Allah memberi ehsan-Nya buat Pitt dan baba," katanya.

Pelakon filem Semua Salahku ini meluahkan rasa syukur itu menerusi Instagram miliknya pada Rabu.

Pada Sabtu lalu, Pitt yang juga pengarah filem Coast Guard lemas ketika memancing di Sungai Jelai dekat Jambatan Gemunchur Mela, Lipis, Pahang.

Dia disahkan meninggal dunia selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui jenazahnya di Sungai Mela, Kuala Lipis pada petang, Ahad lalu.

Allahyarham yang berusia 43 tahun, sebelum itu dibawa dari Hospital Kuala Lipis, Pahang sekitar jam 10.30 malam dan tiba di Kuala Lumpur dua jam kemudian.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Taman Keramat, Kuala Lumpur sekitar jam 2 pagi Isnin.

Pitt yang juga anak sulung daripada dua beradik meninggalkan seorang isteri, Farah Ahmad dan tiga anak berusia di antara tujuh hingga 16 tahun.

Pitt Hanif, Fauziah Nawi

Artikel Lain