suria

Tanya cara beli ‘follower’, Syazwan Zulkifly sindir siapa? - “Kalau jumlah pengikut KPI pelakon, saya kena berkorban sikit”

PELAKON Syazwan Zulkifly menjelaskan dia hanya bersikap sarkastik apabila memuat naik status di Twitter bertanyakan mengenai cara untuk membeli pengikut di laman sosial.

Syazwan, 32, berkongsi status sindiran itu selepas pelakon Adam Shahz menghantar sebuah artikel mengatakan mereka berdua diboikot beberapa stesen televisyen disebabkan tidak mempunyai jumlah pengikut yang ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Pramugari tawan hati Syazwan Zulkifly, bakal bertunang 31 Ogos ini

ARTIKEL BERKAITAN: Syazwan Zulkifly Kesal Digam Sebuah Stesen TV

"Status itu saya muat naik selepas Adam menghantar sebuah artikel yang mengatakan saya dan dia diboikot beberapa stesen TV.

Status yang dimuat naik Syazwan mendapat perhatian netizen.

"Menerusi artikel itu, kami diboikot sebab pihak stesen TV sekarang nak ambil selebriti yang ada ramai followers saja.

"Sedangkan saya baru habis penggambaran dengan RTM dan akan sambung untuk drama TV3 pula. 

"Tapi sebenarnya pertanyaan saya di Twitter itu sekadar memerli sahaja, tapi kalau ada yang percaya, saya tak tahulah," kata Syazwan kepada mStar.

Syazwan ditemui ketika sidang media pelancaran Anugerah Skrin 2019 (ASK2019) di De.Wan 1958 by Chef Wan, The Linc KL, Kuala Lumpur pada Rabu.

Kalau nak minta kerja kena ada diploma atau sarjana, adakah berlakon juga kena ada sijil iaitu jumlah pengikut? Kalau betul, memang sedih.

SYAZWAN ZULKIFLY

Pelakon

Pada Rabu, Syazwan memuat naik status memberitahu dia sanggup membeli 'followers' di laman sosial demi kerjaya seninya. 

Sebelum ini, pelakon telefilem Insan Terpilih ini pernah mendakwa digam sebuah stesen televisyen disebabkan kes yang melibatkan dirinya dengan bekas kekasih yang juga merupakan seorang pengacara pada 2017.

Dalam pada itu, Syazwan turut meluahkan rasa kesal jika pihak stesen televisyen menjadikan jumlah pengikut di laman sosial itu sebagai penilaian prestasi kerja (KPI) bagi seseorang pelakon.

Syazwan berasa sedih sekiranya pihak stesen TV memilih pelakon berdasarkan jumlah pengikut di IG.

"Kalau nak minta kerja kena ada diploma atau sarjana, adakah berlakon juga kena ada sijil iaitu jumlah pengikut? Kalau betul, memang sangat sedih.

"Sekiranya stesen TV menjadikan alasan memboikot itu disebabkan followers dan menjadikan ia KPI bagi seorang pelakon, saya tak tahu la industri seni macam ini.

"Tapi kalau kata ia KPI, saya terpaksa berkorban sikit, satu akaun IG berapa sen kena keluar duit untuk beli," ujarnya.

Syazwan Zulkifly

Artikel Lain