suria

“Saya nak jumpa dan minta kebenaran Tiara Jacquelina” - Liza Hanim bimbang gagal bawa 'Asmaradana' dengan baik

Liza ada rancang bertemu Tiara bagi meminta izin dan memohon maaf sekiranya tidak berjaya menyampaikan lagu Asmaradana dengan baik.

PENYANYI Liza Hanim mengakui bimbang jika tidak mampu menyampaikan lagu Asmaradana nyanyian asal Puan Sri Tiara Jacquelina dengan baik di Konsert National Symphony Orchestra Epic Screen Themes pada November depan.

Menurut Liza atau Haliza Hanim Abdul Halim, 40, biarpun lagu tersebut mempunyai vokal yang mudah namun ia memberi cabaran apabila pertama kali menyanyikan.

"Salah satu lagu yang saya akan menyanyi di konsert itu ialah Asmaradana nyanyian Puan Sri Tiara. Sebenarnya saya takut nak rujuk lagu itu pada dia tapi memang ada perancangan untuk bertemu dengannya.

"Saya nak kena minta kebenaran dan memohon maaf kalau saya tidak dapat bawa lagu itu dengan baik memandangkan saya ini penyanyi balada dan ia sangat mencabar sebab pertama kali menyanyikannya.

Liza akan menyampaikan tiga buah lagu pada malam konsert tersebut.

"Tapi buat masa sekarang saya tak tahu susunan lagu itu, jadi tak nampak lagi bayangan macam mana saya akan lakukan," kata Liza kepada mStar.

Liza ditemui ketika sidang media Konsert National Symphony Orchestra Epic Screen Themes di Bilik Seri Nilam, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Selasa.

Selain Liza, konsert itu turut menampilkan pemuzik terkenal Datuk Mustafa Fuzer Nawi, penyanyi Black dan Sean Ghazi dan akan diadakan  di Panggung Sari, Istana Budaya pada 1 dan 2 November depan.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Mimpi memberitahu dia masih perlu banyak menjalani latihan vokal walaupun sudah mahir dalam bidang tersebut.

Liza dan Black akan berkongsi pentas yang sama.

Baginya, ilmu itu luas dan sebagai seorang penyanyi perlu sentiasa berlatih serta belajar perkara baru supaya dapat mempertingkatkan lagi kualiti nyanyian.

"Seorang penyanyi itu perlu sentiasa berlatih dan belajar supaya kemahiran kita itu tidak hilang dan dapat melakukan persembahan dengan baik.

"Macam saya sendiri ada memasuki kelas latihan vokal sebulan sekali dan berlatih sendiri di rumah pada setiap hari. Bagi saya, apa salahnya kita cari perkara baru untuk tingkatkan lagi mutu nyanyian.

"Ilmu itu tidak kisah umur atau berapa lama pengalaman kita dalam sesuatu bidang sebab ia besar dan luar. Sebab itu kita kena sentiasa belajar," ujarnya. 

Artikel Lain