Ummi Nazeera dan Harith Iskander cabar diri bermain bola sepak sambil tutup mata Sabtu ini - Hiburan | mStar

Ummi Nazeera dan Harith Iskander cabar diri bermain bola sepak sambil tutup mata Sabtu ini

Harith dan Ummi akan turut serta dalam cabaran bermain bola sepak cacat penglihatan anjuran R.AGE di Stadium Bukit Jalil, pada Sabtu ini.

BEBERAPA selebriti popular seperti Ummi Nazeera, Harith Iskander dan Marianne Tan bakal turun padang bagi memeriahkan acara Eye On The Ball: Bola Buta Challenge yang diadakan di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

Selain golongan selebriti, veteran bola sepak terkenal iaitu Santokh Singh dan bintang YouTube, Jinnyboy bersama pasukan Harimau Buta akan turut serta dalam acara yang bermula pukul 9 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Filem inspirasi perjalanan atlet 'Harimau buta' dalam 'Eye On The Ball' ditayangkan di London

Menurut Harith Iskander, dia paling takut kehilangan keupayaan untuk melihat dan tidak dapat membayangkan dirinya bermain bola sepak dalam keadaan itu.

Bagaimanapun,  dia mahu menyahut cabaran berkenaan dan beranggapan aksi permainannya bakal menghiburkan penonton.

Pasukan Harimau Buta.

"Sebagai orang yang mampu melihat, salah satu ketakutan saya jika hilang upaya melihat. Saya tidak dapat membayangkan macam mana nak bermain bola sepak dalam keadaan buta.

"Tetapi saya sentiasa terbuka untuk menghadapi cabaran itu. Saya rasa diri saya akan berlari dan jatuh tapi ia sepatutnya menyeronokkan untuk orang lain menonton," katanya.

Cabaran Bola Buta itu di adakan secara percuma anjuran R.AGE, salah satu unit penerbitan milik Star Media Group bertujuan meningkatkan sokongan dan kesedaran mengenai komuniti bola sepak yang semakin berkembang di Malaysia khususnya pasukan kebangsaan Harimau Buta dalam membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan di seluruh negara. 

Orang awam turut berpeluang untuk merasai pengalaman bermain bola sepak dalam keadaan menutup mata dalam cabaran tersebut.

Selain itu, ia juga akan menjadi sebahagian daripada festival Bulan Sukan Negara anjuran Kementerian Belia dan Sukan dan bakal dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Orang ramai dijemput hadir sertai cabaran bola sepak cacat penglihatan.

Dalam pada itu, Timbalan Editor Eksekutif R.AGE, Ian Yee berkata terdapat pelbagai aktiviti berkaitan kesihatan turut disediakan dalam acara hujung minggu itu.

"Acara ini akan dipenuhi dengan keseronokan untuk semua keluarga. Walaupun anda tidak berminat untuk mencuba pertandingan bola sepak cacat penglihatan, anda boleh lakukan beberapa aktiviti lain.

"Antaranya, kita ada bilik refleksologi (ramai pemain Harimau Buta pernah bekerja sebagai pakar refleksologi), pemeriksaan mata secara percuma dan beberapa pemeriksaan kesihatan sempena aktiviti Bulan Sukan Negara," katanya.

Acara ini juga bersempena tayangan Eye On The Ball, filem pertama diterbitkan R.AGE yang memenangi anugerah dan bakal ditayangkan di pawagam tempatan pada Disember depan.

Diarahkan oleh Chen Yih Wen, filem ini berkisar mengenai inspirasi Harimau Buta dan pertempuran mereka yang sukar untuk layak ke Piala Dunia bola sepak buta.

Filem ini bertujuan untuk membantu mengumpul dana bagi pembangunan bola sepak buta di Malaysia selain menyerlahkan cabaran yang dihadapi oleh komuniti OKU penglihatan negara.

Eye On The Ball baru-baru ini ditayangkan di peringkat antarabangsa iaitu di Aperture Asia & Pacific Film Festival, London.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman Facebook atau menonton klip teaser mengenai bola sepat cacat penglihatan dan Bola Buta Challenge di sini

Artikel Lain