suria

“Saya sangka job ini kacang saja” - Ernie Zakri rasa tertipu, menyesal terima tawaran berlakon

Ernie mengakui tertekan membawa watak wanita psiko menerusi drama berjudul Suri Katarina.

PENYANYI Ernie Zakri mendedahkan tertekan dengan watak utama yang dibawanya menerusi drama berjudul Suri Katriana.

Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 27, berkata, dia pernah berasa menyesal menerima tawaran lakonan apabila watak itu turut meninggalkan impak terhadap emosi dirinya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak ada makna nak pegang-pegang tangan dia” - Ernie Zakri ulas komen kena 'friendzone' dengan Syamel

ARTIKEL BERKAITAN: Syamel pelengkap untuk lebih yakin... Ernie Zakri teruja mereka kembali disatukan

"Pada mulanya saya terima tawaran ini kerana mereka (pihak produksi) beritahu saya hanya terlibat dalam sembilan daripada 49 episod. Saya pun berlagaklah ambil job itu.

"Mereka kata watak Suri ini seorang penyanyi dan penari di kampung. Sebab itulah saya sangka job ini kacang saja. Tapi selepas pergi meeting dan baru tahu siapa pelakon lain, telan air liur saya. Rupanya komitmen untuk berlakon ni bukan mudah.

"Saya ingatkan watak dia ringan tapi tak sangka berat dan boleh saya katakan sangat sukar untuk saya bawakan sebenarnya. Saya kena lahirkan watak psiko itu untuk dibawakan oleh Katriana iaitu lakonan Ummi Nazeera," ujarnya.

Ernie (kanan) turut bergandingan bersama Zul Huzaimy (tengah) dan Aishah Azman (kiri) dalam drama Suri Katriana.

Bercerita lanjut mengenai pengalaman pertama mencuba bidang lakonan, Ernie berkata, babak paling mencabar yang terpaksa dilakukannya adalah menangis.

Malah, Ernie turut mengakui berlakon adalah bukan jiwanya.

"Ini kali pertama saya berlakon... pengalaman paling sukar apabila mereka minta saya untuk menangis. Sedikit sebanyak ia memang memberi tekanan kepada saya. Kalau bangun pukul 7 pagi orang suruh menyanyi pun saya dah happy untuk buat tapi bila berlakon ni saya hanya akan menangis di bucu katil dulu. Senang cerita, lakonan bukan jiwa saya.

"Memang saya seorang yang mudah menangis tapi bila berlakon dan mereka minta saya menangis, ianya memang susah.

"Berani untuk saya katakan ini adalah tawaran berlakon terakhir yang saya akan terima dalam tahun ini. Saya pun tak faham kenapa ada Ernie Zakri dalam drama ini," selorohnya.

Ernie memegang watak sebagai wanita psiko bernama Suri.

Bagaimanapun kata penyanyi lagu Ku Bersuara ini, dia bersyukur kerana ditawarkan dalam bidang lakonan selain menganggap ia sebagai rezeki buat dirinya.

"Ya, saya ada rasa menyesal. Kalau boleh tarik memang saya nak... walau bagaimanapun saya bersyukur kerana ini pengalaman yang sangat bermakna untuk saya. Saya anggap ini rezeki sebab saya terpilih untuk berlakon.

"Saya memang salute pelakon-pelakon lain sebab mereka boleh luangkan masa yang lama dekat set, boleh hayati banyak-banyak emosi dalam satu drama.

"Saya tak mahu cakap untuk berhenti terus dalam bidang lakonan... mana tahu kalau berlakon adalah rezeki untuk saya, kita lihat macam mana," katanya.

Ernie Zakri, berlakon

Artikel Lain