suria

Syamel pelengkap untuk lebih yakin... Ernie Zakri teruja mereka kembali disatukan

Syamel dan Ernie Zakri digandingkan untuk menghiburkan tetamu bersempena Minggu Setiausaha bulan depan.

PENYANYI Ernie Zakri memberitahu dia berasa lega apabila persembahan pertamanya bersempena Minggu Setiausaha yang bakal berlangsung pada 24 April depan turut menampilkan rakan duetnya, Syamel.

Ernie berkata, dia selesa apabila dapat berkongsi pentas dengan bekas peserta program Akademi Fantasia itu selain menyifatkan Syamel sebagai pelengkap untuknya tampil lebih yakin.

"Jujurnya membuat persembahan pada Minggu Setiausaha adalah antara impian kami berdua kerana setiap tahun acara ini kerana ia istimewa.

"Saya pada awalnya agak gementar tetapi Alhamdulillah saya bersetuju apabila mendapat tahu akan digandingkan dengan Syamel.

ARTIKEL BERKAITAN: Saya dah ‘move on’ - Ernie Zakri berjanji tidak akan nyanyikan ‘Misteri’

Ernie selesa bekerjasama dengan Syamel.

"Saya sangat selesa apabila Syamel ada bersama saya di pentas terutamanya untuk acara sebegini kerana dia adalah pelengkap untuk saya tampil lebih yakin," katanya.

Persembahan An Afternoon of Elegence with Syamel & Ernie Zakri - When Heart Needs a Beat itu bakal diadakan di Hotel Marriot Putrajaya pada pukul 12 tengah hari.

Pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) itu secara keseluruhan bakal menyanyikan 12 buah lagu yang mana empat daripadanya adalah duet.

Dalam pada itu, Syamel berkata, seperti mana Ernie, dia juga berasa selesa apabila sekali lagi diberi peluang berkongsi pentas dengan penyanyi lagu Ku Bersuara itu selain menjanjikan persembahan hebat pada hari itu nanti.

"Setakat ini kami belum putuskan lagu apakah yang bakal disampaikan namun apa yang pasti akan ada kelainan daripada kami yang belum pernah anda saksikan," ujarnya.

Syamel dan Ernie akan mendendangkan 12 buah lagu.

Sementara itu, Syamel berkata, dia dan Ernie tertarik untuk mengadakan persembahan tersebut bukan sahaja kerana ia adalah peluang keemasan buat mereka tetapi ingin memberi balik kepada golongan memerlukan.

Ini kerana kata Syamel, sebahagian daripada hasil jualan meja acara itu akan disumbangkan kepada Yayasan Afdlin Shauki untuk mengisi Tabung Misi Bantuan Kemanusiaan Syria.

"Pada saya apabila pihak penganjur memberitahu mengenai perkara itu saya anggap ia sebagai bonus kerana sambil menghiburkan penonton kami sama-sama dapat membantu menyumbang ke arah kebaikkan," ujarnya.

Tiket untuk menyaksikan persembahan Minggu Setiausaha dua penyanyi itu dijual pada harga RM3,500, RM7,000 dan RM10,000 untuk sebuah meja yang boleh memuatkan 10 orang tetamu lengkap dengan set hidangan makan tengah hari serta cenderahati istimewa.

Tempahan atau pertanyaan mengenai acara itu boleh menghubungi talian 018-299 3868.

Ernie Zakri, Syamel

Artikel Lain