suria

Yazit Search kritikal, masuk ICU kerana kecederaan otak

Yazit kini dipantau di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

PEMAIN drum terkenal, Yazit Ahmad kini berada dalam keadaan kritikal akibat kecederaan otak yang berpunca daripada kekurangan oksigen dalam badan.

Dia kini dipantau di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

ARTIKEL BERKAITAN: Ada pihak kurang senang, Yazid Search henti minta bantuan

Menurut anak bongsunya, Sheeqa Yazit, 28, bapanya dikejarkan ke hospital kira-kira pukul 3.30 pagi Selasa selepas mengadu sesak nafas.

“Ya betul, keadaan ayah sedang kritikal dan sekarang dia berada dalam ICU.

“Ayah mengalami brain damage sebab tak ada oksigen dalam badan. Doktor beritahu sekalipun ayah selamat, dia terpaksa bergantung pada mesin hayat.

“Pagi semalam ayah kejut ibu kira-kira pukul 3.30 pagi dan beritahu dia tidak boleh bernafas.

Yazid bersama isterinya, Ramlah Ahmad.

“Ketika itu ayah berpeluh-peluh. Masa on the way ke HKL, ayah tidak bernafas dan nadi sudah berhenti dalam 10 minit,” ujarnya kepada mStar.

Tambah Sheeqa, keluarganya sedang bersedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku atas keadaan bapanya yang sedang nazak.

“Doktor juga beritahu yang ayah terkena jangkitan kuman paru-paru.

“Ketika ini kami sekeluarga dinasihatkan untuk bersedia kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku.

“Memang sejujurnya kami tidak bersedia untuk kehilangan ayah tapi kalau sudah takdir, kami reda,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sheeqa memberitahu beberapa rakan artis seperti Awie, Black dan Shah Slam hadir bagi menziarahi bapanya itu.

Selain itu kata Sheeqa, dia meminta kepada rakan artis lain yang pernah rapat dengan bapanya itu untuk terbuka hati menziarahinya.

“Sejujurnya ayah memang sudah lama tidak menghubungi anggota kumpulannya.

“Tetapi saya berharap dengan berita ini mereka terbuka hati untuk datang menziarahi,” katanya.

Yazit Ahmad, Search

Artikel Lain