suria

Mamat Exists lega dapat teruskan konsert, bebas reman kes dadah dengan jaminan polis

Mamat dibebaskan dengan jaminan polis.

BEKAS vokalis kumpulan Exists iaitu Mamat dibebaskan daripada tahanan reman dengan jaminan polis kira-kira pukul 4.30 petang, Selasa.

Berdasarkan perkembangan terbaharu itu, Mamat difahamkan akan tampil menghiburkan peminatnya dalam konsert Exists Reunion pada 28 September ini mengikut perancangan awal.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, penyanyi itu kini dalam keadaan sangat baik dan kelihatan tenang sebaik dibebaskan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bakal adakan konsert reunion 28 September ini, Mamat Exists dicekup polis miliki dadah

ARTIKEL BERKAITAN: “Cerita yang tak ada pun diadakan” - Mamat (Exists) sedih banyak cerita buruk, risau boleh tutup periuk nasi

“Alhamdulillah, keadaan Mamat okey. Saya belum sempat berbual panjang dengan dia. Kami akan berangkat ke Kuala Lumpur petang ini juga," kata Shirazdeen.

Shirazdeen berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara bagi menguruskan perjalanan Mamat ke Kuala Lumpur bagi meneruskan latihan dan persiapan konsert berkenaan.

Mamat, 41, ditahan polis selepas disyaki mempunyai kaitan dengan kesalahan dadah ketika menunggang motosikal bersama seorang rakannya pada malam, Ahad lalu.

Konsert Exists Reunion bakal diadakan pada 28 September ini.

Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamaruddin ditahan polis di Taman Perling, Johor selepas pihak polis menemuinya dalam keadaan mencurigakan.

Kedua-dua individu berkenaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara untuk siasatan lanjut dan hasil ujian air kencing mendapati mereka positif dadah.

Dalam pada itu, Shirazdeen juga memberitahu pihaknya selaku penganjur konsert Exists Renioun merancang untuk mengundang wartawan dalam sidang media khas bersama Mamat.

"Kami ada rancangan untuk buat sidang media untuk menjelaskan situasi sebenar selain memaklumkan mengenai perkembangan konsert Exists Reunion.

“Pihak Shiraz Projects juga berterima kasih pada semua pihak yang tidak putus-putus bertanya khabar dan prihatin dengan situasi yang melanda.

"Kami amat menghargai sokongan yang anda berikan dan Shiraz Projects akan sentiasa berkongsi perkembangan mutakhir mengenai konsert itu dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang anggota asal Exists, Musa meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak penganjur yang sentiasa peka serta prihatin terhadap apa yang berlaku.

"Tiada  yang terbaik untuk kami lafazkan selain mengucap syukur ke hadrat Allah SWT.

Terima kasih kepada pihak penganjur Shiraz Projects yang sangat peka dan prihatin.

“Ini menunjukkan pihak penganjur konsert kami menjalankan tanggungjawab yang lebih daripada komitmen sebenarnya. Perkara sebegini harus dicontohi oleh yang lain, " katanya.

Mamat bersama anggota asal kumpulan Exists bakal mengadakan konsert reunion pada 28 September ini di Stadium Malawati, Shah Alam dan 5 Oktober depan di Singapura.

Selain Mamat, seorang lagi vokalis Exists iaitu Ezad Lazim.

Mamat Exists

Artikel Lain