suria

“Kami dah capai, tiba masa kongsi rezeki” - Tiga tahun bina nama, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal kini jutawan kosmetik

Pasangan Aeril dan Wawa Zainal berjaya bina nama sebagai usahawan kosmetik.

PASANGAN pelakon Wawa Zainal dan suaminya Aeril Zafrel kini mampu tersenyum apabila usaha selama tiga tahun dalam membina nama sebagai usahawan kosmetik membuahkan hasil.

Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 28, berkata, mereka bukan sahaja sudah bergelar jutawan, malah kini turut berkongsi rezeki dengan orang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: “Awal kahwin saya suka marah dia” - Wawa Zainal sedih, lakonan Aeril Zafrel imbau perangai lama

ARTIKEL BERKAITAN: Padan Muka! Wanita Penipu Masuk Perangkap Aeril Zafrel

"Sudah tentu saya rasa bersyukur, tak dinafikan memang kami sudah berjaya mencapai beberapa juta. Kami dah rasa, sudah dapat dan mampu capai apa sahaja yang kami nak selama ini.

"Tiba masanya untuk kongsi rezeki dengan orang lain pula. Perasaan puas bila kami berjaya lahirkan dua orang jutawan kosmetik dan empat orang lagi akan menyusul jadi jutawan dalam tahun ini," ujarnya kepada mStar Online.  

Pasangan ini ditemui pada Majlis Pelancaran Wawa Unicorn Kit Wawa Cosmetic di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Isnin.


Wawa dan Aeril mahu kongsi rezeki dan lahirkan jutawan baharu.

Dalam pada itu, pelakon filem 99 Kali Rindu ini berkata, banyak cabaran sepanjang tiga tahun membina nama dalam bidang perniagaan.

Katanya, pengalaman ditipu sebanyak RM100,000 oleh individu bergelar 'Datuk' juga menjadi pengajaran buat dia dan suaminya.

"Masa mula-mula memang susah, lebih-lebih lagi kami tiada ilmu perniagaan. Latar belakang keluarga juga bukan orang bisnes. Saya ambil masa tiga tahun untuk establish. Ia jangka masa yang panjang bagi saya.

"Saya juga pernah ditipu RM100,000 lesap sebab itu saya kurang percaya dengan individu berpangkat ni," ujarnya.

Perasaan puas bila kami berjaya lahirkan dua orang jutawan kosmetik dan empat orang lagi akan menyusul.

WAWA ZAINAL

PELAKON

Sementara itu, bercakap mengenai kerjaya lakonan, Wawa mengakui rindu untuk kembali ke lokasi penggambaran dan masih terbuka untuk menerima mana-mana tawaran berlakon.

Bagaimanapun Wawa berkata, keutamaannya terhadap bisnes membuatkan dia terpaksa melupakan bidang lakonan buat seketika.

“Bukan soal suami menghalang... cuma kalau ada tawaran berlakon dan jalan cerita yang bagus, mungkin saya akan ambil. Tak dinafikan, saya seronok buat bisnes sekarang ini dan pada masa sama tak boleh nak tinggalkan.

“Memanglah rindu nak berlakon tapi nak buat macam mana, kami perlu fokus dalam bisnes dahulu, ” ujarnya.

Wawa Zainal, Aeril Zafrel

Artikel Lain