Drama Big Stage bermula, Aziz Harun umum tarik diri… “Saya tengok muka awak dah pucat” - Hiburan | mStar

Drama Big Stage bermula, Aziz Harun umum tarik diri… “Saya tengok muka awak dah pucat”

Aziz Harun sering menerima kritikan daripada juri profesional sejak menyertai Big Stage 2019. -foto Instagram @bigstage2019

SELEPAS tiga minggu bertahan dalam program Big Stage 2019, penyanyi Aziz Harun akhirnya mengalah dan mengumumkan menarik diri daripada meneruskan menyertai pertandingan itu.

Kira-kira tiga jam sebelum konsert minggu ketiga bermula, Aziz memberi bayangan awal apabila dia memuat naik posting di Twitter menyatakan persembahan minggu ini adalah yang terakhir untuknya.

“Mungkin hari ini adalah hari terakhir saya di Big Stage,” tulis Aziz.

ARTIKEL BERKAITAN: “Rasa sakit... kacau mental” - Aziz Harun cuba hadam komen buruk Michael Ang

ARTIKEL BERKAITAN: Aziz Harun kejar bekas kekasih sampai ke UK

Muat naik itu disedari penyanyi Alif Satar selaku hos yang terus mendapatkan penjelasan selepas Aziz selesai menyanyikan lagu Beautiful nyanyian asal penyanyi antarabangsa, Bazzi.

“Saya ingin tarik diri,” kata Aziz.

Bagaimanapun ‘drama’ di atas pentas itu segera disekat Sherry Alhadad selaku hos apabila menyatakan bahawa pihak produksi harus berbincang terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Aziz tetap dengan keputusannya untuk meninggalkan pentas Big Stage 2019.

Hasil perbincangan, Aziz bagaimanapun nekad dengan keputusannya untuk tidak meneruskan pertandingan kerana isu peribadi.

“Saya akan terus tarik diri daripada Big Stage. Saya dapat tawaran belajar di luar negara.

"Dah lama saya tunggu untuk dapat peluang macam ni. Saya ucap terima kasih kepada pihak produksi, juri dan semua peminat,” katanya pada akhir rancangan.

Terdahulu menurut penyanyi dan komposer Ajai selaku juri jemputan, Aziz dilihat tidak bersedia ketika menyampaikan lagu Beautiful.

“Sebelum awak masuk tadi, saya tengok muka awak dah pucat.

Aziz tidak akan meninggalkan bidang nyanyian walaupun bakal menyambung pelajaran dalam masa terdekat.

“Ketika itu awak masih lagi sedang bercelaru untuk ingat corak persembahan. Sepatutnya ketika hampir nak buat persembahan semua itu tak perlu lagi dah, sebab itu rehearsal.

“Sepatutnya ketika di pentas, daya keyakinan perlu tinggi. Nampak sukar untuk awak bawakan lagu ini,” katanya.

Persembahan buruk itu juga menyebabkan Aziz memperoleh keputusan paling rendah itu sebanyak 56 peratus.

Sejak penyertaannya dalam Big Stage 2019, Aziz yang popular dengan lagu Senyum itu sering menerima kritikan daripada juri profesional.

Sementara itu peserta Indonesia, Dinda Permata yang sepatutnya tersingkir pada minggu ini dengan keputusan tercorot iaitu 62 peratus akhirnya terselamat.

Produksi mengambil keputusan untuk tidak membuat penyingkiran bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Aziz Harun.

Aziz Harun , Big Stage

Artikel Lain