Mengaku cederakan pekerja Bangladesh, halang polis, penyanyi Zynakal didenda RM2,800

Zynakal didenda RM2800

PENYANYI dan komposer Zynakal didenda sebanyak RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ampang atas kesalahannya mencederakan seorang pekerja warga Bangladesh dan menghalang tugas polis di sebuah stesen minyak Rabu lalu.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman terhadap Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli, 21, selepas dia mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibaca terhadapnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Serang, cekik pekerja stesen minyak... penyanyi BBNU ditahan polis!

ARTIKEL BERKAITAN: Zynakal diganggu makhluk halus? Caprice, Sufian rujuk ustaz... “Dia tak balik rumah, gaduh dengan semua orang”

Bagi pertuduhan pertama iaitu mendatangkan kecederaan tertuduh didenda sebanyak RM800, manakala untuk pertuduhan kedua tertuduh didenda RM2,000.

Mahkamah turut memerintahkan, Zynakal yang popular dengan lalu Terbang itu dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda tersebut dan tertuduh membayarnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah mendatangkan kecederaan terhadap lelaki warga Bangladesh Ahmad Mostak yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Zynakal dijatuhi hukuman denda sebanyak RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ampang.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam seorang anggota polis Lans Koperal Muhammad Safuan Amiruddin dengan tidak menunjukkan kad pengenalan bagi tujuan pemeriksaan.

Bagi pertuduhan kedua itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan  masing-masing pukul 3 petang dan 3.30 petang di Stesen Minyak Petronas Pandan Prima (MRR2) Ampang di sini pada 28 Ogos lalu.

Zynakal yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman ringan atas alasan tidak mempunyai pendapat tetap kerana hanya bekerja sebagai penulis lirik dan komposer.

Pada Rabu, seorang penyanyi dilaporkan menumbuk dan memaki hamun seorang pekerja sebuah stesen minyak selepas mangsa dipercayai enggan menerima kaedah bayaran pembelian minuman yang mahu dibelinya menggunakan kad kredit.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, penyanyi lelaki berusia 21 tahun terbabit turut menghalang tugas penjawat awam dengan mempertikaikan kuasa anggota polis ketika diminta menunjukkan My Kad miliknya bagi tujuan siasatan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, ketika kejadian, mangsa, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 28 tahun yang merupakan pekerja stesen minyak tersebut berada di kaunter.

Menurutnya, penyanyi terbabit yang tidak berpuas hati dengan mangsa telah menumbuk dada lelaki warga asing terbabit.

Suspek kemudiannya menarik baju serta memaki hamun warga asing berkenaan dengan perkataan yang tidak senonoh.

Noor Azmi memberitahu, anggota polis yang tiba kira-kira lima minit kemudian telah memeriksa sebuah kereta yang dinaiki suspek bersama seorang lagi lelaki.

Bagaimanapun katanya, suspek dengan nada yang marah juga telah mempertikaikan kuasa polis untuk mendapatkan kerjasama bagi tujuan siasatan.

Zynakal, denda

Artikel Berkaitan

Artikel Lain