“Usaha ayah tanam lagu rock dalam jiwa saya tak menjadi” - Anak Hattan, Adam E kini penyanyi rap - Hiburan | mStar

“Usaha ayah tanam lagu rock dalam jiwa saya tak menjadi” - Anak Hattan, Adam E kini penyanyi rap

Adam mengakui kurang keyakinan diri kerana masalah berat badan yang dialaminya sejak kecil.

PENYANYI baharu yang juga merupakan anak tunggal kepada Datuk Hattan iaitu Adam Eiman mengakui lebih cenderong kepada muzik hip hop biarpun sudah didedahkan dengan lagu-lagu genre rock sejak kecil.

Adam atau nama sebenarnya Adam Eiman Mohd Shukri Sahabuddin, 21, berkata, bapa agak terkejut dengan pilihan muzik yang ingin dibawa, namun beliau tetap memberi sokongan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Lagu tak sedap mana tapi dimainkan” - Hattan terkilan stesen radio pilih bulu, kecewa tiada lagi ruang berkarya

ARTIKEL BERKAITAN: Banyak Undang Fitnah, Hattan Tiada Akaun Media Sosial

"Saya pernah share dengan ayah lagu yang saya suka. Pada awalnya ayah agak terkejut... tetapi apa nak buat, ia sesuatu yang saya suka. Dia rasa saya patut ada taste lagu yang lebih baik. Saya faham ayah lebih memilih lagu yang ada melodi. 

"Saya ingat lagi waktu kecil-kecil ayah selalu bagi saya dengar lagu-lagu rock termasuk beberapa band dari Indonesia. 

"Kira semua classic lagend dia suruh khatamkan dahulu, mungkin dia kena terima jiwa saya lebih kepada Hip Hop sebab usaha dia untuk 'tanamkan' jiwa rock itu tidak menjadi," ujarnya kepada mStar.

Adam bakal melancarkan lagu duetnya bersama Datuk Hattan berjudul Perlukan Aku pada 6 September ini.

Lagu berentak Hip Hop dengan kerjasama Sasuke Outlet itu merupakan ciptaannya bersama sepupu yang juga merupakan seorang penyanyi Hip Hop, Senna.

Adam kurang keyakinan diri disebabkan masalah berat badan yang dialaminya sejak kecil.

Dalam pada itu, Adam berkata, dia tidak berminat untuk aktif mahupun meraih perhatian di media sosial disebabkan masalah kurang keyakinan diri yang dihadapinya sejak kecil.

Tambahnya, masalah berat badan yang dialaminya sejak kecil antara faktor utama mengapa dia enggan berkongsi hal peribadinya di media sosial.

"Sejujurnya saya memang tidak aktif di media sosial. Saya sangat jarang post di media sosial... kalau ada pun dalam enam bulan sekali?

"Ia disebabkan saya ada masalah tidak yakin dengan diri sendiri sejak kecil kerana masalah berat badan yang saya alami sebelum ini... Ya, saya pernah bulat seperti bola.

"Disebabkan itu, saya sentiasa berasa takut untuk melakukan sesuatu. Kadang-kadang nak pose pun saya terpaksa cover muka kerana takut dengan pandangan masyarakat," ujarnya.

Adam nekad melakukan perubahan dan tampil dengan imej baharu.

Adam yang ingin dikenali sebagai Adam E berkata, dia nekad untuk bangkit dan lakukan perubahan dengan mengasah minat dalam bidang nyanyian.

"Semakin saya membesar, saya jadi semakin matang. Sampai bila saya nak menafikan hakikat itu?

"Daripada asyik duduk rumah, main game, sampai satu masa saya sedar hidup saya tiada apa-apa. Untuk buat perubahan sudah tentu ianya perlu lahir dari dalam diri kita sendiri.

"Sejak itu saya rasa nak fokus untuk buat lagu dan saya mula berubah. Saya banyak belajar mengenai muzik daripada video online," katanya.

Adam Hattan , Perlukan Aku

Artikel Lain