suria

DJ Lin terlibat kemalangan, kereta dilanggar dari arah bertentangan ketika hujan lebat

Hujan lebat punca DJ Lin kemalangan ringan di hadapan pejabat Menara Star, Khamis lalu.

PENYAMPAI Suria FM, DJ Lin terlibat dengan kemalangan ringan di hadapan pejabat Menara Star, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis lalu.

Menurut DJ Lin atau nama sebenar Roslinda Abdul Majid, 44, dia tidak mengalami sebarang kecederaan namun bahagian hadapan kenderaannya alami kerosakan.

ARTIKEL BERKAITAN: DJ Lin masuk hospital, bakal jalani pembedahan fibroid

ARTIKEL BERKAITAN: Selamat jalani pembedahan, DJ Lin bakal 'on air' Suria Cinta atas katil hospital!

"Petang itu saya nak keluar dari pejabat, entah macam mana ada kenderaan melintas di laluan saya dan bertembung dengan kereta yang saya pandu.

"Alhamdulillah, saya dan pemilik kenderaan itu tiada sebarang kecederaan tapi bahagian depan kereta saya rosak.

Bahagian hadapan kereta DJ Lin akibat kemalangan Khamis lalu.

"Mungkin hujan lebat menyebabkan pemandu berkenaan tak perasaan kehadiran kereta saya sehingga menyebabkan pelanggaran itu," katanya kepada mStar.

DJ Lin ditemui semasa sidang media pengumuman Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-32 yang diadakan di Tamu Hotel & Suite, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dalam anugerah tersebut, DJ Lin tercalon bagi kategori Penyampai Radio Popular bersaing bersama empat lagi penyampai iaitu Haziq, Johan, Muaz dan Radin.

Bercakap mengenai pencalonannya itu, DJ Lin bersyukur masih menjadi calon penyampai radio wanita tunggal dalam anugerah tersebut.

Mengakui bukan mudah meloloskan diri dalam kelompok lima terbaik, DJ Lin berkata dia mengharapkan kemenangan itu untuk diserahkan kepada peminat dan pendengar Suria FM.

Alhamdulillah, saya dan pemilik kenderaan itu tiada sebarang kecederaan tapi bahagian depan kereta saya rosak.

DJ Lin

Penyampai Suria FM

"Alhamdulillah tercalon lagi dalam ABP kali ini, satu penghargaan yang cukup besar dan semestinya ini atas sokongan semua peminat.

"Apabila peminat dah undi semestinya mereka mengharapkan kemenangan kita. Jadi, saya pun kalau boleh mahu menang, bukan untuk diri sendiri tetapi untuk pendengar yang tak henti mengundi," ujarnya.

Malam kemuncak ABPBH 32 akan disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 September depan, jam 9 malam.

DJ Lin, kemalangan

Artikel Lain