suria

35 hari Farid Kamil dalam penjara, kini mahkamah benar tangguh hukuman... “InsyaAllah, semuanya Allah permudahkan”

Farid dapat menangguhkan pelaksanaan hukuman sembilan bulan yang dikenakan terhadapnya.

SELEPAS 35 hari, pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil kini dibenarkan menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sembilan bulan yang dikenakan terhadapnya atas tuduhan dadah.

Menerusi laporan Harian Metro, Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membenarkan permohonan Farid, 38, selaku pemohon dalam prosiding di Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada Rabu.

Dalam keputusannya itu, Hakim Ab Karim turut memerintahkan pelakon filem Lagenda Budak Setan itu membayar jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai.

“InsyaAllah, semuanya Allah permudahkan,” kata Farid kepada pihak media selepas prosiding berakhir.

Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari turut diarahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran kediamannya sebulan sekali.

Farid dikenakan hukuman penjara sembilan bulan pada 15 Mei lalu.

Dalam prosiding itu, adik kepada Farid iaitu pelakon Fadzil Zahari hadir sebagai penjaminnya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Be strong sis…”- Farid Kamil dipenjara 9 bulan, peminat minta Diana Danielle tabah!

Bagaimanapun isteri Farid iaitu pelakon Datin Diana Danielle tidak kelihatan di galeri awam.

Pada 15 Mei lalu, Farid dikenakan hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas kesalahan mengguna dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC), tahun lalu.

Dalam prosiding itu juga, mahkamah tidak membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman.

Disebabkan itu, Farid dibawa ke Penjara Kajang dan hukuman penjara berkenaan diperintah bermula tarikh sabitan, iaitu pada hari sama.

Farid menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 15 Mei lalu.

Farid Kamil, Diana Danielle

Artikel Lain