“Kita tak tahu dalam badan nampak macam sihat tapi...” - Kesihatan Azwan Kombos semakin pulih selepas diserang asma - Hiburan | mStar

“Kita tak tahu dalam badan nampak macam sihat tapi...” - Kesihatan Azwan Kombos semakin pulih selepas diserang asma

Keadaan kesihatan Azwan sudah kembali pulih. Foto Instagram @azwankombos

SETELAH empat hari dimasukkan ke hospital akibat serangan asma, pelakon Azwan Kombos memaklumkan dia sudah pun dibenarkan pulang ke rumah.

Menurut Azwan, 34, dia menghidap penyakit tersebut sejak kanak-kanak lagi namun ini merupakan serangan paling teruk sepanjang hidupnya.

"Saya memang ada asma sejak kecil tapi kali ini paling teruk sampaikan ditahan di wad dan menjalani rawatan sehingga kamera dimasukkan ke dalam paru-paru.

ARTIKEL BERKAITAN: “Buat penat shooting 17 jam, ini jer hasilnya!” - Azwan Kombos

"Ini pengalaman pertama saya diserang asma teruk, sebelum ini menggunakan ubat pelega (inhaler) dah boleh baik.

"Mungkin sebab terlalu penat dan cuaca pula tak menentu membuatkan semput menjadi lebih parah, Alhamdulillah sekarang ini keadaan sudah kembali pulih seperti biasa," katanya kepada mStar.

Harum jadi peneman Azwan di wad.

Pada Rabu lalu, Azwan Kombos dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Kota Damansara, Selangor kerana mendapat serangan asma.

Azwan mendapat serangan secara tiba-tiba dan keadaan menjadi semakin teruk sehingga memaksanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Azwan berkata keadaan kesihatannya sudah baik sepenuhnya dan boleh meneruskan kerja seperti biasa.

"Doktor kata semuanya sudah baik cuma tekak ada sakit sikit, mungkin kesan tiub yang dimasukkan semasa rawatan tempoh hari.

Keluarga bahagia.

"Semuanya dah okay, boleh buat kerja seperti biasa cumanya saya masih perlu makan ubat yang dibekalkan oleh doktor.

"Sekarang ini saya dan isteri iaitu Ezzaty Abdullah serta anak Harum Dahlia sudah berada di Bentong, Pahang nak sambung beraya," ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon drama Mak Cun ini turut menasihati orang ramai supaya menjaga kesihatan dan segera mendapatkan rawatan jika berasa kurang sihat.

"Kita tak tahu sakit dalam badan kita, nampak macam sihat tapi sebenarnya tubuh kita lemah.

"Jadi, jika rasa macam tak sihat, cepat-cepat dapatkan rawatan di klinik atau hospital kerana kalau sakit itu sudah melarat boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri," ujarnya.

Azwan Kombos

Artikel Lain