suria

“Tak fasal saya pengsan nanti” - Ibu Zizie Ezette tak tahu anak ditahan SPRM

Khaty Fauziah terkejut dengan berita penahanan anaknya, Datin Seri Zizie Ezette.

PELAKON veteran Khaty Fauziah terkejut dengan berita penahanan anaknya, Datin Seri Zizie Ezette oleh Suruhanjaya Pencegarah Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah.

Bagaimanapun Khaty atau nama sebenarnya Fauziah Khatijah Musa berkata, dia tidak dimaklumkan oleh sesiapa mengenai perkara berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM sahkan tahan Bung Moktar, Zizie... didakwa Jumaat

"Saya tidak tahu-menahu mengenai perkara itu kerana ketika ini saya berada di Melaka. Zizie atau Sam juga tidak maklumkan apa-apa kepada saya.

"Mereka tahu saya ada penyakit darah tinggi dan kencing manis, jadi mereka tak akan buat saya susah hati.

“Awak juga jangan cakap banyak dengan saya, tak fasal saya pengsan nanti," katanya ketika dihubungi mStar pada Rabu.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan mengenai penahanan Zizie bersama suaminya yang juga Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Bung Mokhtar Radin.

Zizie Ezette bersama anak-anaknya.

Pasangan suami isteri itu ditahan pada pagi Rabu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan nilai sekitar RM3 juta.

Mereka bagaimanapun dibebaskan selepas memberikan kerjasama penuh kepada SPRM selama hampir lapan jam.

Zizie dan suami dijangka akan didakwa pada Jumaat.

Untuk rekod, Zizie berkahwin dengan Bung Mokhtar yang juga merupakan Ahli Parlimen Kinabatangan pada 2009.

Pasangan ini dikurniakan cahaya mata kembar lelaki yang diberi nama Aadam Zac Izette dan Aaleph Zeke Izette yang lahir pada 30 November 2017 dan seorang bayi perempuan pada 1 Mac lalu.

Zizie merupakan isteri kedua Bung Mokhtar.

Artikel Lain