Zizie Ezette kongsi cara kurang 20kg ketika pantang - Hiburan | mStar

Zizie Ezette kongsi cara kurang 20kg ketika pantang

Zizie berjaya menurunkan berat badan hampir 20 kilogram dalam masa 44 hari selepas bersalin.

PELAKON Datin Seri Zizie Ezzete berkongsi cara dia menurunkan berat badan sebanyak 20 kilogram dalam masa 44 hari selepas melahirkan anak perempuannya pada 1 Mac lalu.

Zizie, 40, berkata dia perlu kuat untuk melawan nafsu makan biarpun keadaan dalam biliknya dipenuhi dengan manisan.

Malah, Zizie juga turut berpesan kepada ibu menyusu badan supaya tidak terlalu diet sehingga menyebabkan susu berkurangan dan tak berkhasiat.

"Berat naik 16 kilogram ketika hamil dan hilang hampir 20 kilogram dalam 44 hari selepas bersalin.

"Sudah tentu, diri sendiri kena kuat tak boleh ponteng terutama ketika anda ada bilik yang dipenuhi dengan coklat.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas dapat kembar lelaki, Zizie Ezette timang bayi perempuan pula


Zizie kongsi tips turunkan berat ketika berpantang.

"Tapi tolong mudahkan diri sendiri terutama ibu menyusu badan di luar sana. Jangan terlalu berdiet sampai susu badan jadi berkurang dan tak berkhasiat," katanya.

Kakak kepada pelakon Shaheizy Sam itu berkongsi tips dan nasihat tersebut menerusi laman Instagram miliknya pada Ahad.

Zizie melahirkan anak perempuan yang diberi nama Aalisa Belle Izette  pada 1 Mac lalu dengan berat 3.32 kilogram.

Dalam pada itu, Zizie memberitahu dia sentiasa mengawal saiz dan mengira kalori makanan yang diambil setiap hari.

Kata Zizie, menyusu badan juga dapat membantu membakar lemak dalam satu hari.

Zizie bersama anak-anaknya.

"Saya sentiasa berlatih untuk mengawal saiz makanan dan kira kalori. Menyusu badan juga banyak membantu bakar lemak.

"Jadi untuk kuruskan badan selain rawatan, saya banyak bagi susu badan dan pump untuk baby.

"Jadi badan saya bakar lebih kalori dalam satu hari memandangkan saya melalui pembedahan dan senaman bukan pilihan untuk beberapa bulan awal selepas bersalin," ujarnya.

Pelakon itu berkahwin denagn Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Moktar pada 2009.

Mereka turut dikurniakan anak kembar lelaki bernama Aadam Zac Izette dan Aaleph Zeke Izzete yang kini berusia dua tahun.

Pasangan ini turut mempunyai dua lagi anak angkat, Nayla Nurjenna, 3, dan Aaric Zayn Izette yang berusia setahun.

Zizie Ezzete

Artikel Lain