“Ada netizen salahkan perangai lama Shakila punca tiada susu badan” -Fizi Ali buntu, isteri nyaris meroyan - Hiburan | mStar

“Ada netizen salahkan perangai lama Shakila punca tiada susu badan” -Fizi Ali buntu, isteri nyaris meroyan

Pelakon Shakilla Khoriri alami tekanan ketika dalam pantang.

GARA-GARA terlalu memikirkan kata-kata netizen mengenai susu badan, pelakon Shakilla Khoriri yang sedang dalam pantang mengalami tekanan.

Menurut suaminya yang juga penyampai Suria FM, Fizi Ali, memberitahu Shakilla gagal mengawal perasaan sehingga hampir meroyan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Alhamdulillah, saya dah jadi bapa!” - Fizi Ali dan Shakilla Khoriri dapat anak perempuan

ARTIKEL BERKAITAN: “Selamat tinggal susu badan” -Shakilla Khoriri tertekan dan hampir putus asa

"Terlalu ramai yang kecam cakap perangai dia sebelum ni yang buat dia tiada susu badan buat Killa sangat tertekan.

"Saya cuba positifkan dia sebab ramai sahaja bayi lain yang tak dapat minum susu badan tetapi mereka sihat sahaja.

"Kila hampir meroyan sebab terlalu memikirkan kata-kata orang. Dia sangat stress ketika dalam pantang," katanya kepada mStar.

Fizi ditemui ketika bersama-sama menjayakan program Suria Belanja Makan di Restoran Rebung Datuk Chef Ismail, Taman botani, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Shakilla sebelum ini berkongsi luahan hati di laman Instagram miliknya apabila pelbagai usaha dilakukan untuk menambah susu badan tidak berhasil.

Shakilla sebelum ini pernah membuat luahan hati di Insta story miliknya yang turut menerima kecaman netizen.

Perkongsian itu menyebabkan pelakon drama Air Mata Di Bumi Matador itu menerima pelbagai reaksi netizen.

Sementara itu, Fizi berkata, ada yang memberi cadangan dan ada juga yang mengaitkan kisah lampau menjadi punca susu badan kurang.

"Orang-orang asyik DM (direct message) dia cakap dia tiada susu badan sebab perangai dia duhulu. Ada juga yang salahkan sebab dia asyik main Instagram.

"Netizen perlu faham masalah seseorang itu dan jangan buat mereka bertambah stress sebab sesetengah mereka tiada tempat untuk meluahkan. Sepatutnya anda beri kata-kata semangat kepada orang yang tengah down bukannya kecam mereka," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kongsi foto anak selepas sebulan, Shakilla Khoriri belajar jadi wanita sabar dan kuat

Bercerita mengenai pengalamannya menjadi bapa, Fizi berkata kehadiran Ameena membuatkan dia lebih memahami erti pengorbanan seorang ibu.

"Tidak mudah rupanya nak menjaga anak ni. Ameena selalu bangun malam-malam dan menangis tak berhenti macam orang kena rasuk.

"Lampin dah tukar, bagi susu pun taknak diam. Tak tahu apa lagi yang dia nak sampai saya naik buntu.

"Rupa-rupanya dia nak saya dodoi sampai tidur," ujarnya.

Dalam pada itu, Fizi memberitahu dia juga terpaksa mengambil alih tugas isterinya menguruskan kerja-kerja rumah termasuk memasak.

Pasangan ini dikurniakan cahaya mata perempuan bernama Ameena Sofia.

"Mula-mula saya sangka mudah sahaja untuk jadi bapa tapi sebenarnya susah.

"Sementara orang rumah sedang berpantang, saya terpaksa membuat kerja harian. Rutin kehidupan saya akan bermula seawal pukul 4.40 pagi untuk pergi kerja. Sampai di rumah saya akan jaga anak, memasak, basuh kain, jemur kain, sapu rumah dan mandikan baby.

"Ia buat saya terfikir pengorbanan ibu dan bapa saya selama ini. Betapa penatnya mereka," katanya.

Fizi dan Shakilla berkahwin pada 18 Februari tahun lalu.

Shakilla selamat melahirkan bayi perempuan secara pembedahan di sebuah pusat perubatan di Damansara pada 11.30 pagi Khamis.

Fizi dan Shakilla memilih nama Ameena Sofia sebagai nama anak sulung mereka itu.

Fizi Ali , Shakilla Khoriri

Artikel Lain