Genap 2 tahun Jins Shamsuddin meninggal dunia… “Jebat rindukan ayah” - Hiburan | mStar

Genap 2 tahun Jins Shamsuddin meninggal dunia… “Jebat rindukan ayah”

Kenangan... Putera Hang Jebat bersama Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin ketika menghadiri sidang media Ops Selamatkan Bukit Kepong pada 2015.

HARI ini (Jumaat) genap dua tahun pemergian seniman legenda Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin. Beliau meninggal dunia pada 1 Mac 2017.

Anak keduanya, Putera Hang Jebat ketika memperingati bapanya meluahkan perasaan rindu terhadap Jins selain memberitahu akan sentiasa mengirimkan doa buatnya.

"Dua tahun ayah dah pergi tinggalkan abang... Abang rindu sangat dekat ayah.

"Ayah berehat la di sana. Abang akan sentiasa kirimkan doa untuk ayah," katanya di Instagram.

Jins akan sentiasa diingati sebagai seorang anak seni yang berbakat besar. 

ARTIKEL BERKAITAN: Jins Shamsuddin Serius, Kelakar

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya Tak Kahwin, Saya Tak Ada Anak... Saya Jins Shamsuddin!"

ARTIKEL BERKAITAN: Isu tanah Jins Shamsuddin berharga RM2.75 juta, Hang Tuah, abang saman Hang Jebat

Jebat turut memuat naik beberapa foto kenangan bersama bapanya pada kapsyen tersebut.

Jins, 81, meninggal dunia di sebuah klinik di Taman Melawati Kuala Lumpur dipercayai akibat sesak nafas selepas tercekik kuih di kediamannya.

Balu Allahyarham Puan Sri Halijah Abdullah menyiram air ke pusara suaminya.

Keadaan kesihatan pelakon dan pengarah terkenal itu sebelum itu kurang memuaskan apabila Allahyarham disahkan menghidap penyakit Alzheimer yang menyebabkan beliau hilang ingatan dan sukar berkomunikasi.

Dalam pada itu, Jebat memberitahu dia akan sentiasa mengingati setiap pesan yang dititip Allahyarham kepadanya.

"Ayah berehat la di sana. Insya Allah segala pesan ayah abang akan ingat sampai bila-bila," ujarnya.

Selain Hang Jebat, Jins turut meninggalkan balu, Puan Sri Halijah Abdullah dan anak bongsu, Putera Hang Nadim.

Filem Bukit Kepong arahan dan lakonan Jins antara paling diingati penonton.

Allahyarham turut mempunyai dua lagi anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu, Jeffri Zain dan Hang Tuah @ Shazrin Mohd Zain.

Sepanjang kariernya dalam bidang seni Jins pernah tampil dalam 40 buah filem termasuk Sarjan Hassan, Si Tanggang dan Sumpah Wanita.

Beliau juga pernah mengarahkan filem Menanti Hari Esok, Esok Masih Ada, Bukit Kepong, Ali Setan dan Balada.

Jins juga pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara selama dua penggal bermula 13 Oktober 2004 hingga 11 Februari 2011.

Jins Shamsuddin , Putera Hang Jebat