“Jodoh... biar berjalan dengan tenang tanpa banyak dugaan” - Zizan Razak - Hiburan | mStar

“Jodoh... biar berjalan dengan tenang tanpa banyak dugaan” - Zizan Razak

Zizan Razak tiada perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat.

PELAKON dan pelawak Zizan Razak memberitahu dia tidak mempunyai perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat.

Zizan, 35, berkata, dia belum mempunyai wanita yang istimewa dan sesuai dijadikan sebagai pasangan hidup.

"Belum ada lagi rancangan untuk berkahwin, status di Instagram itu sekadar gurauan sahaja.

"Buat masa ini tiada yang istimewa dan saya berkawan dengan semua orang," ujarnya kepada mStar Online.

Status Zizan yang mendapat perhatian netizen.

Zizan ditemui pada majlis sidang media filem Bikers Kental 2 yang diadakan di Gasket Alley pada Rabu.

Baru-baru ini Zizan ada memuat naik foto dengan kapsyen pertanyaan 'nak berkahwin tahun ini ke tahun depan? Korang rasa?' menimbulkan spekulasi dalam kalangan netizen.

Pelakon Polis Evo sebelum ini pernah dikaitkan dengan aktres Mira Filzah, namun masing-masing tidak pernah membuat kenyataan berkaitan hubungan itu.

Zizan belum ada calon istimewa untuk dijadikan isteri.

Dalam pada itu, ditanya keinginannya untuk berkahwin terutama apabila usia yang sudah meningkat, Zizan berkata, dia mahu perkara itu berjalan dengan tenang.

"Saya bukan kata tak nak kahwin tapi saya nak semua benda itu (urusan) berjalan dengan tenang, jangan ada paksaan. Kalau memang jodoh ia akan jadi sendiri.

"Saya tidak mahu terlalu banyak cabaran perlu dihadapi," ujarnya.

Zizan Razak

Artikel Lain