Farah Nabilah gementar ganti Neelofa - Hiburan | mStar

Farah Nabilah gementar ganti Neelofa

Farah Nabilah tidak menyangka mengacarakan Meletop perlu dilakukan secara spontan. Foto: LOW LAY PHON

PELAKON Farah Nabilah mengakui dia berasa gementar ketika mengacara program MeleTop pada malam Selasa bagi mengantikan Neelofa yang sedang bercuti di Dubai.

Farah atau nama sebenarnya Farah Nabilah Saipuddin, 27, berkata pada mulanya dia tidak tahu program tersebut perlu dilakukan secara spontan kerana selama ini sebagai pelakon sudah terbiasa mengikut skrip.

“Saya memang ada gementar sebab tak ada latihan awal sebelum bersiaran langsung dan saya tak tahu pula perjalanan program seperti tu. Macam Nabil sudah biasa mengacara.

ARTIKEL BERKAITAN: Farah Nabilah dah pandai ‘tunjuk belang’... ini jawapannya!

“Saya pula pelakon dah biasa ikut skrip sebab itu saya cakap berdasarkan queue card  (kad panduan) yang sudah diberikan. Rupa-rupanya jadi pengacara program tu kena secara spontan. Lagipun, tetamu yang datang nama-nama besar dan saya takut tersalah cakap.

“Tapi saya anggap ia sesuatu pengalaman yang bagus dan saya dapat mencabar diri untuk melakukan sesuatu yang lain iaitu mengacara,” katanya kepada mStar Online.

Farah ditemui ketika sidang media Mini Showcase... In Love with Farah Nabilah & Friends di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada Rabu.

Farah bergandingan bersama Nabil Ahmad, menggantikan Neelofa sebagai hos Meletop pada Selasa.

Farah diminta mengulas mengenai kritikan netizen yang mengatakan dia tidak sesuai dan kekok menjadi pengacara mengantikan Neelofa menerusi program MeleTop yang bersiaran pada malam Selasa di Astro Ria.

Dalam pada itu, Farah bakal menyanyikan dua buah lagu iaitu Kemarin nyanyian asal kumpulan Seventeen dan I’ll Never Love Again (Lady Gaga) pada konsert mini yang akan diadakan di PWTC pada 28 April depan.

Menurut Farah, dia tidak kisah sekiranya ada pihak yang mengkritik atau memberi komen negatif mengenai nyanyian itu kerana beranggapan ia sekadar untuk memeriahkan persembahan tersebut yang juga merupakan program amal pertubuhan kemanusia Asia Africa Development Relief Foundation (ADRF).

“Insya-Allah saya akan menyampaikan dua buah lagu nyanyian asal penyanyi kumpulan Seventeen dan Lady Gaga pada malam itu nanti.

Farah Nabilah

“Minggu hadapan saya akan mula masuk kelas vokal. Pada mulanya tak terfikir pun nak menyanyi, ingat hanya mahu menjual pakaian saya untuk program amal tu.

“Tapi pihak ADRF minta sesuatu kelainan daripada saya dan suruh menyanyi. Saya fikir apa salahnya cabaran baru untuk saya. Tak kisah la orang nak kritik kata suara tak sedap sebab bagi saya, ia sekadar untuk berhibur sahaja,” ujarnya.

Selain pelakon drama Cik Reen Encik Ngok Ngek ini, antara selebriti yang akan turut serta program tersebut iaitu penyanyi Ismail Izzani, Aliff Aziz dan kumpulan The Mirza.

Kata Farah, program amal itu bertujuan mengumpul dana sebanyak RM50,000 untuk membantu kemiskinan di kawasan PPR Lembah Klang dan juga membantu dari segi persekolahan di Tanjung Lesung, Indonesia yang ditimpa tsunami pada tahun lalu.

Farah Nabila , Meletop , Neelofa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut