Rambut panjang Lan Solo buat peminat ‘ngeri’, sekarang lain pula

Lan selesa membawa imej baharunya. Foto: NUR ATHIRAH FARHANA.

PENYANYI Lan Solo berkata ramai orang lebih mudah mendekatinya semenjak dia menukar imej berambut pendek dan berpakaian lebih kemas.

Lan atau Mohd Razlan Mohamed Yusof, 34, berkata pada awalnya dia berat hati untuk membawa imej tersebut namun dia memikirkan perlu ada kelainan pada dirinya.

"Pada awalnya memang rasa berat saja dengan imej ini tapi saya perlu lakukan sesuatu kelainan. Nyanyian orang dah tahu dari segi penampilan sahaja kena ubah.

"Tapi apabila saya ubah penampilan macam ni, ramai orang senang nak dekati saya. Banyak perkara positif berlaku seperti orang ajak berborak dan buat kerja.

"Mungkin orang ngeri tengok saya berambut panjang nampak garang dan takut nak tegur tapi sekarang peminat lebih mudah mesra," katanya kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Lan Solo terpaksa sekat semua anggota Kristal di laman sosialnya


Ada peminat meminta Lan untuk menyimpan rambut panjang semula.

Menurut Lan, ada segelintir peminat memintanya untuk menyimpan semula rambut namun mereka memahami selepas dia menjelaskan tujuan sebenar imej tersebut.

"Boleh dikatakan semua peminat beri respons yang positif mengenai imej saya dan hanya beberapa peratus sahaja tidak menyukai.

"Mereka ada juga suruh saya simpan rambut semula tapi apabila saya terangkan apa sebab, fokus dan hala tuju 2019, penerimaan mereka lebih baik terhadap imej saya," ujarnya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Twist Abang Sayang ini bakal beraksi di pentas Istana Budaya bersama penyanyi-penyanyi era 90-an pada 1 dan 2 Februari depan.

Biarpun Lan bukan pilihan pertama penyanyi untuk Konsert Retro itu namun dia beranggapan semuanya adalah pencarian rezeki masing-masing.

Lan bakal berduet dengan Asmidar pada Konsert Retro.

"Bagi saya, ia tak jadi masalah sebab masih dalam pilihan. Tak kisah la pilihan pertama, kedua atau ketiga.

"Dalam industri itu adalah perkara biasa. Saya pun pernah mengantikan tempat penyanyi lain dan begitu juga ada yang gantikan saya.

"Semua itu adalah pencarian rezeki masing-masing dan saya bersyukur serta teruja dapat dipilih untuk membuat persembahan di Istana Budaya," katanya.

Selain Lan, konsert tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan daripada Uji Rasyid, Dayangku Intan, Hail Amir, Jay Jay dan Asmidar.

Tiket berharga RM30, RM50, RM70, RM90 dan RM100 boleh didapati menerusi laman sesawang www.ilassotickets.com.

Lan Solo

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Artikel Lain