Zamani minta peminat tak bimbang keadaan kesihatannya - Hiburan | mStar

Zamani minta peminat tak bimbang keadaan kesihatannya

Zamani memberitahu peminat tidak perlu risaukan keadaan kesihatannya.

PENYANYI Zamani tidak mahu peminatnya berasa bimbang berhubung keadaan kesihatannya selain berharap tiada sebarang andaian dibuat mengenai keadaannya itu.

Zamani atau Zamani Ibrahim, 48, berkata kesihatannya semakin baik selain menjalani beberapa rawatan seperti berurut untuk masalah tulang belakang dihadapinya.

“Alhamdulillah, kesihatan saya baik-baik sahaja dan saya masih mampu untuk memenuhi sebarang aktiviti yang sudah ditetapkan.

“Sebenarnya saya tak nak peminat bimbang memikirkan kesihatan saya. Jadi, kalau boleh janganlah ada yang membuat andaian mengenai keadaan saya.

“Tapi, untuk pengetahuan saya memang ada menjalani beberapa rawatan seperti berurut secara tradisional,” katanya kepada mStar Online.


Zamani memberitahu kesihatannya semakin baik.

ARTIKEL BERKAITAN: Zamani terpaksa diberi suntikan, tetap buat persembahan biarpun sakit belum sembuh

Zamani ditemui ketika majlis pelancaran kelab peminatnya Zamanians di LOKA, NU Sentral, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Menurut Zamani, penubuhan tersebut bagi menghargai sokongan peminat yang tidak pernah putus dari awal kemunculannya dan selepas tamat program Gegar Vaganza musim kelima (GV5) sehingga kini.

“Bukan fasal mengambil masa yang lama baru nak ada kelab peminat. Tapi selepas tamat GV5, saya melihat sokongan yang tidak pernah putus daripada peminat sehingga ada beberapa kelab peminat telah ditubuhkan.

“Jadi, dengan adanya kelab peminat rasmi Zamanians ini dapat menyatukan semua selali. Lebih ramai, lagi bagus. Takut ada yang terlepas pandang.

“Kelab peminat ini juga ditubuhkan bagi menghargai sokongan padu peminat sepanjang saya berada dalam industri,” ujarnya.

Zamani , Gegar Vaganza

Artikel Lain