suria

Zamani terpaksa diberi suntikan, tetap buat persembahan biarpun sakit belum sembuh

Zamani akan teruskan persembahan pada minggu keenam konsert GV5.

PETALING JAYA: Keadaan penyanyi Zamani yang mempunyai masalah peti suara koyak belum sembuh sepenuhnya sehingga dia terpaksa menerima suntikan sejak Rabu lalu.

Pengurusnya Aalan Ahmad, berkata, penyanyi berusia 47 tahun itu masih tidak boleh menyanyi namun dan harapannya agar suntikan diterima Zamani akan membantu kesihatan dia pulih.

"Alhamdulillah, keadaan Zamani kini beransur pulih tapi belum sembuh sepenuhnya. Dia boleh bercakap tapi masih belum boleh menyanyi.

ARTIKEL BERKAITAN: Zamani sedar suara hilang sebelum konsert, belum tentu sertai GV5 minggu depan

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 3 hari berdiam diri, Zamani akhirnya mohon maaf


Suara Zamani masih belum pulih sepenuhnya.

"Sejak semalam (Rabu), Zamani membuat pemeriksaan doktor dan menerima suntikan untuk merawat suaranya.

"Rawatan dan suntikan itu juga akan dilakukan sehingga suaranya kembali pulih," kata Aalan ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Dalam Gegar Vaganza ke 5 (GV5) Ahad lalu Zamani gagal menyanyikan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta pada minggu kelima konsert kerana peti suaranya koyak.

Bagaimanapun, dia bernasib baik apabila penaja utama program tersebut, Datuk Seri Aliff Syukri menggunakan imuniti untuk menyelamatkan Zamani daripada penyingkiran.

Dalam pada itu, Aalan memberitahu Zamani membuat keputusan untuk tidak mensia-siakan peluang yang diberikan pihak Astro itu dan tetap akan tampil biarpun kesihatannya belum pulih.

Kata Aalan, keputusan itu dilakukan bukan paksaan mana-mana pihak namun atas kerelaan Zamani yang memikirkan tanggungjawabnya terhadap program tersebut serta sokongan peminat.

Zamani memikirkan tanggungjawab dan komitmen terhadap program GV5.

"Insya-Allah Zamani akan teruskan juga persembahannya pada minggu ini. Dia tidak mahu sia-siakan peluang yang telah diberikan kepadanya.

"Keputusan untuk teruskan itu juga bukan disebabkan paksaan daripada mana-mana pihak tetapi atas kerelaan dia sendiri.

"Zamani berasa bertanggungjawab dan mahu berikan komitmen kepada program tersebut dan dia lakukannya demi sokongan peminat dan tidak mahu mengecewakan mereka," ujarnya.

Menerusi laporan mStar Online pada Rabu, Zamani memohon maaf kerana tidak dapat menyampaikan lagu Ahad lalu.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada peminat, juri tetap, Datuk Ramli MS, Datuk Khatijah Ibrahim serta juri jemputan Datuk AC Mizal dan pengacara GV5 yang memberi sokongan pada malam tersebut.

Zamani, GV5


Artikel Lain