suria

Dikritik pakai ‘baju dalam’ di luar, ia konsep ‘korset dress’ - Ernie Zakri

Baju gaun merah hati Ernie dikritik netizen.

PENYANYI Ernie Zakri menjelaskan gaun merah yang digayakan pada persembahan semasa Mentor 7 malam Ahd lalu tidak keterlaluan atau menyentuh sensitiviti berpakaian.

Ernie berkata, rekaan baju Amaze Atelier itu berkonsepkan gaun korset yang diinspirasikan daripada pakaian Puteri Gunung Ledang.

"Rekaan itu diinspirasi daripada Puteri Gunung Ledang tapi saya dan pereka fesyen buat keputusan untuk jadikan ia lebih sopan dengan menutup bahagian dada dan lengan.

"Korset dress memang begitu bentuknya, mereka yang memberi komen negatif hanya melihat dari sudut negatif," ujarnya kepada mStar Online.

Ernie berduet dengan protege Hafiz iaitu Amirul di program Mentor 7.

Baju gaun merah hati yang digaya Ernie mendapat perhatian netizen yang menganggap ia sebagai sesuatu yang tidak sopan apabila rekaan bahagian dada seolah-olah berbentuk baju dalam di bahagian luar.

Dalam pada itu, Ernie yang menutup bahagian komen di foto-foto Instagram yang dimuat naik berkata, dia tidak mahu netizen terus memberi kata-kata negatif di ruangan tersebut.

Katanya, dia juga tidak bimbang dan terkesan dengan kata-kata negatif tersebut.

"Saya tidak ambil serius hal itu dan tindakan saya tutup komen di Instagram bagi menghentikan komen-komen negatif netizen.

"Saya sudah menjaga sebaik mungkin sensitiviti berkaitan pemakaian dan pakaian pada malam tersebut tidak keterlaluan," ujarnya.

Ernie Zakri

Artikel Lain