suria

Ada pihak hampir jual semula tiket AFF Suzuki milik Ummi Nazeera

Ummi, Lisa, Diana Danielle dan Mawar turun ke stadium untuk menyokong pasukan Malaysia.

PELAKON Ummi Nazeera berkata dia berhadapan situasi pelik dan mencurigakan ketika melalui pintu pemeriksaan tiket ketika menyaksikan perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 antara pasukan Malaysia dan Vietnam pada Selasa malam.

Cerita Ummi, petugas yang bertanggungjawab memeriksa kemasukan penonton dikatakan enggan mengoyak dan menyerahkan kembali tiketnya dan rakan-rakan yang lain.

"Masa kami nak masuk, adik yang menjaga tiket ambil tiket kami dan bagi tanda dengan tangan suruh masuk. Kami cakap, eh tiket kami?.

"Dia cakap tak apa, masuk saja. Tanpa koyak tiket seolah-olah ia boleh dijual semula. Selepas kami bertegas, baru dia koyak dan bagi balik.

Ummi dituduh hanya datang ke stadium untuk menyaksikan perlawanan akhir sahaja.

"Ummi tak tahu apa motif dia. Tapi amat merisaukan kalau tiket dijual balik. Kalau betul, saya harap pihak berkuasa akan mengambil berat mengenai perkara ini.

"Risau pula kot orang yang masuk ke stadium lebih daripada kapasiti. Maafkan dan perbetulkan saya kalau silap," katanya.

Ummi menceritakan kejadian tersebut menerusi laman Instagram dan disokong oleh rakannya iaitu Lisa Surihani yang turut berada bersamanya ketika itu.

Selain mereka, pelakon Diana Danielle dan Mawar Rashid turut hadir memberi sokongan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.

Selain itu, Ummi menolak kecaman segelintir pihak yang melabel golongan selebriti sepertinya sebagai 'bangsa final' kerana didakwa hanya hadir dan memberi sokongan kepada skuad kebangsaan ketika perlawanan penting dan mendapat liputan meluas.

Ummi dan rakan-rakan selebriti menyokong pasukan Malaysia.

Ummi meminta netizen untuk melihat semula foto-fotonya yang pernah 'turun padang' untuk menyaksikan perlawanan bola. 

"Ramai yang tulis bangsa final di Instagram Ummi dan kawan-kawan. Tolong tengok posting kami sebelum ni. Kalau betul pun ada yang datang untuk final saja, apa salahnya?

"Lebih bagus kita sama-sama sokong Harimau Malaya mewakili Malaysia. Jangan busuk hati bila tengok orang lain dapat lebih.

"Dalam Islam kita diajar untuk berdoa untuk dapat apa yang kita mahukan. Malaikat aminkan doa kita sambil mendoakan yang sama buat yang mendoakan," tulisnya.

Artikel Lain