suria

MMA cabar ego Zul Ariffin

Zul akui minat terhadap sukan MMA timbul selepas berlatih untuk filem Sangkar.

PELAKON Zul Ariffin mengakui sukan seni tempur campuran (MMA) mencabar ego yang ada dalam diri seseorang itu.

Jelas Zul, penglibatannya dalam sukan kombat ini pada awalnya hanya untuk lakonan, namun minatnya terhadap sukan itu berterusan sehingga di luar set penggambaran.

"Ia membentuk saya menjadi seorang yang lebih berdisiplin. Lebih penting sukan ini mampu mencabar ego kerana kita akan selalu belajar sesuatu yang baharu jika ada orang lain yang lebih baik dari diri kita.

"Dan sudah tentu ia merupakan satu gaya hidup yang sihat kerana anda akan lebih peka dengan corak pemakanan untuk menjaga berat badan dalam kategori masing-masing,” jelasnya yang aktif dalam acara Muay Thai.

Pelakon filem Tombirua ini menganggap sekarang adalah masa yang sesuai untuk meneruskan misi menurunkan berat badannya yang mencecah 102 kilogram.

Zul Ariffin berlatih untuk filem Sangkar.

"Sekarang tidak sibuk lagi dan ada masa untuk memulakan kembali aktiviti sihat dan mahu mencapai berat badan ideal 90 kilogram. Saya perlu berusaha lebih sedikit untuk menjaga stamina ketika menjalani penggambaran untuk jangka masa panjang.

"Sebelum ini masa agak terhad dengan jadual penggambaran yang padat yang membuatkan saya tidak sempat mengatur masa untuk bersenam dengan baik, jelasnya yang bakal membintangi filem terbaharu MMA ‘Sangkar’.

Tambah Zul, Sangkar merupakan filem pertama melibatkan beberapa orang atlet ONE Championship.

"Idea yang baik filem ini dibuat memandangkan sukan kombat semakin mendapat sambutan di negara kita. Tahun depan filem ini akan ditayangkan dan saya anggap sebuah filem yang perlu tengok oleh semua peminat sukan ini,” jelasnya.

Mengenai peluang menyaksikan perlawanan ONE Championship Jumaat lalu di Axiata Arena buat kali pertama secara langsung, Zul mengakui dia sangat teruja.

"Biasanya saya tengok perlawanan ketika menjalani penggambaran sahaja, tetapi kali ini di depan mata. Atlet-atlet tempatan yang profesional dan mereka sangat hebat,” katanya.

Zul Ariffin

Artikel Lain