"Tak boleh harapkan pengapit, mereka bukan amah" kata Tasha Mansahar yang syukur rakan baik temaninya sepanjang majlis perkahwinan - Hiburan | mStar

"Tak boleh harapkan pengapit, mereka bukan amah" kata Tasha Mansahar yang syukur rakan baik temaninya sepanjang majlis perkahwinan

Tasha mendirikan rumah tangga dengan penyampai radio September lalu.

PENYANYI Tasha Mansahar yang baharu melangsungkan perkahwinan dengan penyampai radio Raqib Majid berpendapat, pengantin tidak boleh terlalu mengharapkan pengapit untuk membantu mereka dalam urusan majlis istimewa itu.

Tasha, 26, berkata, pengantin juga sepatutnya memilih pengapit yang sihat dan tidak mempunyai komitmen, agar tidak menyusahkan mereka.

"Kita pun sebenarnya tak boleh mengharapkan pengapit untuk buat kerja sebab diorang bukan amah. Selalunyai kawan baik akan tawarkan untuk bantu kita sebab mereka nak raikan kita.

"Tapi kalau boleh pilihlah pengapit yang tiada komitmen kerja dan anak kecil, yang sihat, yang duduk berdekatan sebab tak nak sampai kita pula yang menyusahkan mereka. Sama-sama saling memudahkan," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin terkial-kial cari 'crown' dengan tangan masih berinai, pengapit selamba keluar sarapan


Tasha mengulas isu viral mengenai pengapit yang ditimbulkan seornag jurusolek

Tasha mengulas isu yang tular di media sosial berkenaan seorang jurusolek pengantin yang kecewa dengan pengapit pengantin yang tidak mendapat bantuan  pengapit pada hari persandingannya.

Tasha atau nama sebenarnya Nur Nadia Natasha berkahwin dengan Raqib Majid, 28, pada 9 September lalu.

Bagaimanapun, Penyanyi lagu Terima Kasih Cinta itu bersyukur mendapat bantuan sepenuhnya daripada pengapit pada beberapa majlis termasuk berinai, nikah dan resepsi yang berlangsung tiga bulan lalu.

Kata Tasha, rakan-rakan baiknya dengan rela hati melakukan semua persediaan dan memastikan majlis tersebut berjalan lancar.

"Saya dapat pengapit terbaik untuk majlis perkahwinan. Mereka bantu daripada persediaan berinai, nikah dan selesai majlis resepsi. Mereka datang awal dan balik lambat untuk memastikan barang-barang pengantin cukup.

"Mereka jauhkan orang-orang yang boleh menganggu emosi saya dan tenangkan saya sepanjang majlis itu. Mereka tak bagi saya lebih berfikir yang bukan-bukan," ujarnya.

Tambah Tasha, jika niat ikhlas untuk menjamu tetamu mengikut kemampuan, bersedekah dan berkongsi berita gembira tentunya akan dipermudahkan Allah swt.

Tasha Mansahar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain